FOKUS PEMBANGUNAN NEGERI
Tempoh berpolitik sudah berlalu, kata Shafie
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan usaha berterusan Tan Sri Musa Aman yang mahu mengambil jawatannya itu bukanlah isu penting, jika dibandingkan dengan usaha membangunkan negeri ini.
Beliau berkata, tempoh berpolitik sudah berlalu dan beliau kini mahu memfokuskan kepada misi dalam memperkukuhkan kerajaan negeri selain membangunkan dan membela rakyat di negeri ini.
“Saya hendak membangunkan Sabah dan membela rakyat negeri ini. Kita tidak mahu ada keraguan dan kebimbangan dalam membuat pentadbiran.
“Cukuplah kita berpolitik. Zaman pilihan raya umum sudah berlalu dan terimalah hakikat. Setiap rakyat mempunyai hak memilih,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan ucapan Belanjawan Negeri 2019, di sini pada Khamis.
Penyerahan ucapan bajet itu disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Pg Hassanel Mohd Tahir Nasruddin.
Ditanya mengenai langkah Musa membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Shafie menjawab ringkas bahawa ia adalah hak individu masingmasing.
Bagaimanapun, katanya, setiap tindakan harus berpaksikan kepada perundangan sedia ada.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie menolak saman Musa yang mendakwa pelantikan Shafie sebagai Ketua Menteri tidak mengikut Perlembagaan pada 12 Mei lalu.
Keputusan itu membuktikan bahawa Shafie adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.