Wanita perlu kreatif jana pendapatan
Persatuan digalak cari peluang ekonomi
KOTA KINABALU: Wanita perlu lebih kreatif dalam menjana pendapatan tanpa bergantung kepada orang lain.
Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif berkata, usaha berkenaan dapat membantu persatuan mendapatkan dana tanpa mengharapkan kerajaan.
“Persatuan-persatuan wanita perlulah mencari alternatif lain selain daripada mengharapkan dana kerajaan dalam usaha untuk mengadakan aktiviti yang bermanfaat kepada golongan wanita.
“Gunakan juga kelebihan dan peluang yang ada untuk menjadikan persatuan kekal aktif dapat mencapai matlamat bukan hanya semata-mata mengejar populariti,” katanya pada Majlis Rantaian Kasih bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) di sebuah hotel di sini, tengahari Khamis.
Beliau turut berharap program-program berinformasi tidak hanya diadakan di Bandaraya Kota Kinabalu tetapi juga dapat dianjurkan di luar bandar.
“Semoga ilmu yang diperolehi daripada majlis ini dapat diterapkan dalam persatuan masing-masing kelak dan diharap pemimpin-pemimpin NGO dapat turun padang ke daerah-daerah luar bandar untuk bersama-sama kerajaan membantu masyarakat yang memerlukan.
“Tahniah kepada JHEWA kerana tidak putus-putus melakukan program yang bermanfaat seperti ini dan tidak ketinggalan juga telah memberikan dana kepada persatuanpersatuan,” katanya.
Antara pengisian program pagi berkenaan ialah forum bertajuk ‘Sesi Perkongsian Peranan Persatuan’ yang menghimpunkan panel-panel dari seluruh Malaysia antaranya Pengasas Soup Kitchen Datuk Munirah Abdul Hamid, Pengerusi Syukbah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Dr Suzain Suhaimi dan Presiden Soroptimist International Kota Kinabalu Ophelia Domingo.