Utusan Borneo (Sabah)

Anak saudara dalam mesin basuh: Jurujual dipenjara dua bulan

-

KUALA KUBU BHARU: Seorang jurujual yang memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh dobi layan diri yang kemudian terkunci secara automatik dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini, pada Jumaat.

Hakim Mahkamah Sesyen Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret menjatuhka­n hukuman itu terhadap Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes pada Jumaat.

Mahkamah kemudian memerintah tertuduh yang juga seorang duda menjalani hukuman penjara itu bermula pada tarikh tangkap 3 Okt lepas, iaitu selepas video detik cemas kejadian itu di sebuah kedai dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang, tular di Facebook.

Sebelum menjatuhka­n hukuman itu Hakim Azmil Muntapha berkata: “Perbuatan kamu memasukkan seorang kanakkanak ke dalam mesin basuh boleh menyebabka­n bahaya dan mengancam keselamata­n kanak-kanak itu.

“Sekiranya mesin basuh itu berpusing apa akan jadi kepada kanak-kanak itu kerana peralatan dobi untuk mencuci pakaian bukan untuk gurauan,” katanya.

Beliau turut bertanyaka­n kepada tertuduh adakah beliau telah meminta maaf kepada kakaknya yang merupakan pengadu dalam kes ini.

“Sudah minta maaf dengan kakak?,” soal hakim itu dengan tertuduh kemudian menjawab dia sudah meminta maaf kepada pengadu.

Tertuduh didakwa memasukkan anak saudara lelakinya yang berusia tiga tahun ke dalam mesin basuh sehingga membahayak­an keselamata­n mangsa di sebuah kedai dobi di Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 12.30 tengah malam, 2 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairulazh­wa Yusrie Mohamad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia