Utusan Borneo (Sabah)

Tentera DR Congo bunuh 17 militia di wilayah Kasai

-

KANANGA: Seramai 17 anggota sebuah kumpulan pengganas di wilayah Kasai di tengah Republik Demokratik (DR) Congo telah dibunuh pada Rabu lepas dan beberapa orang lagi ditangkap dalam satu serangan hendap tentera, kata polis.

Kapten polis tempatan Desire Bidwaya memberitah­u kelmarin beberapa banduan telah ditahan di ibu pejabat tentera sementara menunggu pemindahan mereka ke Kananga, bandar utama wilayah itu.

“Pihak tentera telah menemui beberapa laras senjata serangan dan senapang patah 12 tolok,” tambah beliau.

Keganasan meletus di wilayah yang luas itu pada Ogos 2016 selepas seorang ketua puak dikenali sebagai Kamwina Nsapu, yang memberonta­k menentang Presiden Joseph Kabila, dibunuh oleh pasukan tentera,

Ketua tradisiona­l tempatan Tshibangu Mwela berkata kira-kira 60 anggota militia telah berkumpul di dalam hutan Minshanga bersama pemimpin mereka, Kawai Dewayo, ketika “pihak tentera menangkap mereka tanpa disedari dan melepaskan tembakan. Kami menemui 17 mayat pada hari ini.”

Maklumat mengenai di mana Dewayo dan isterinya berada tidak diketahui, walaupun anak lelaki mereka berusia tiga tahun telah ditemui, jelas beliau.

Beliau memberi penghormat­an kepada operasi ketenteraa­n, menyatakan ia telah “membebaska­n rakyat dari genggaman anggota militia”.

Pasukan keselamata­n di Kasai telah menentang sebuah kumpulan militan yang tidak tentu bentuknya di mana anggotanya sering bercampur dengan populasi tempatan, menurut pihak berkuasa tempatan.

Pada September, seorang ketua pemberonta­k Kasai bernama Ndaye Kalonga Nsabanga menyerah diri kepada pihak berkuasa bersama ratusan pejuang muda.

Konflik di Kasai berlaku sejajar dengan keganasan di bahagian timur di DR Congo, memberikan satu bayangan terhadap kemampuan negara untuk mengadakan pilihan raya presiden pada bulan depan.

Sejak 2016, kira-kira 3,000 orang di Kasai maut – termasuk dua pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihantar bagi menyiasat konflik – dan lebih sejuta orang telah hilang tempat tinggal, menurut PBB. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia