Utusan Borneo (Sabah)

Dortmund tolak status sebagai pasukan pilihan

-

DORTMUND: Borussia Dortmund menepis kenyataan daripada presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, bahawa pendahulu Bundesliga itu adalah pasukan pilihan dalam perlawanan pada malam ini (Sabtu), apabila perang psikologi bermula di antara dua kelab terkemuka di Jerman itu.

Dortmund bimbingan Lucien Favre mempunyai kelebihan empat mata ke atas juara bertahan Bayern sebelum perlawanan mereka di Signa Iduna Park, yang mendorong Hoeness untuk menegaskan: “Kami adalah pasukan bukan pilihan.”

Bagaimanap­un, walaupun Dortmund merupakan satu-satunya pasukan dalam liga utama Jerman yang masih belum tewas pada musim ini dan semakin menghampir­i rekod kelab bagi siri perlawanan tanpa kekalahan sejak awal musim, pengarah sukan mereka Michael Zorc menolak idea bahawa Bayern boleh dianggap sebagai pasukan ‘underdog’.

“Buat pertama kali sejak sekian lama, kami menentang FB Bayern sebagai pendahulu dalam liga, tetapi itu tidak begitu bermakna. Pasukan pilihan tidak mendapat gol tambahan,” kata Zorc dalam sidang akhbar kelmarin.

“Kami sudah dengar apa yang telah disebut tetapi kami tidak peduli - kami hanya menikmati situasi.

“Ia tidak masuk akal untuk membanding­kan Dortmund dengan Bayern, mereka sudah memenangi enam kejuaraan Bundesliga yang terakhir.”

Dortmund memulakan perlawanan pada hujung minggu ini selepas bermain buruk di seluruh padang dalam kekalahan 2-0 di tempat lawan kepada Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara pada Selasa lepas.

“Kami ada sebab yang baik untuk memulakan perlawanan dengan yakin tetapi sudah tentulah kami perlu bermain dengan lebih baik berbanding apa yang kami lakukan di Atletico,” tambah Zorc.

Favre sedang menunggu laporan tentang kecergasan penjaga gol Roman Buerki dan pemain pertahanan Abdou Diallo, yang mengalami kecederaan, tetapi anggota skuad lain dijangka cergas.

Jika mereka dapat mengelak kekalahan kepada Bayern, Dortmund akan menyamakan rekod permulaan kelab mereka bagi 11 perlawanan liga berturuttu­rut tanpa kalah yang dicipta pada 2002/03, tetapi Favre berkata pasukannya yang muda ada banyak untuk dipelajari.

“Kami sudah mencapai kemajuan tetapi masih ada banyak perkara untuk dibuat, terutamany­a dari segi taktik,” kata Favre.

“Kami ada banyak rancangan, tetapi kami ada ramai pemain muda dan mereka masih memerlukan masa.” - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia