Kaut untung lebih RM25 juta, sindiket judi dalam talian tumpas

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

KUALA LUMPUR:Sebuah sindiket judi dalam talian yang mengaut keuntungan lebih RM25 juta sejak mula beroperasi dua bulan lalu, tumpas dalam serbuan polis di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Pandan Prima 2, Ampang, dekat sini, pada Sabtu.

Dalam serbuan Ops Dadu jam 4 petang oleh sepasukan polis dari oleh Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu, seramai 13 individu berusia antara 20 dan 40-an ditahan di tingkat dua premis berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat memberitahu pemberita bahawa pasukan serbuan turut merampas 16 komputer, tiga komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenama, lebih 20 kad debit dan dua buku catatan pertaruhan.

Beliau berkata sindiket itu menawarkan pakej pautan judi dalam talian dari luar negara kepada pelanggan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menerusi iklan di laman media sosial yang dihantar secara rawak.

“Pelanggan yang berminat, akan berkomunikasi dengan operator sindiket yang beroperasi 24 jam melalui aplikasi telefon pintar bagi memberi butiran lanjut.

“Individu yang berminat untuk bertaruh akan diberi satu akaun lengkap dengan kata laluan selepas membuat bayaran kepada sindiket itu. Seterusnya individu itu boleh berjudi menggunakan telefon pintar di laman web judi berkenaan,” katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati nilai taruhan melalui sindiket itu mencecah hingga puluhan ribu ringgit yang membawa keuntungan berlipat kali ganda.

Sindiket itu dipercayai menggunakan lebih 30 akaun individu berbeza (keldai akaun) bagi melakukan transaksi keluar masuk wang pertaruhan bagi menyukarkan pihak berkuasa mengesan mereka, katanya.

Fadzil berkata serbuan hasil risikan dan maklumat orang ramai itu diketuai Pegawai Turus D7 Selangor, DSP Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dengan empat pegawai dan 15 anggota.

“Kami percayai ada lagi sindiket-sindiket yang menjalankan kegiatan judi dalam talian dan memohon orang ramai agar berkongsi maklumat bagi membanteras jenayah ini,” katanya.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.