Badminton Piala Datuk Jimmy Wong

Utusan Borneo (Sabah) - - Sukan -

TAWAU: Kelab Badminton Warisan Tawau (KBWT) akan mengadakan Kejohanan Badminton Piala Datuk Jimmy Wong buat pertama kali di Tawau pada 30 November hingga 2 Disember 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Henery Wong berkata, kejohanan badminton ini akan diadakan selama tiga hari di dewan badminton Sekolah Tinggi Cina Sabah (Tawau), dan orang ramai dialu-alukan datang menyaksikan kejohanan berkenaan.

Henery mengalu-alukan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk menyertai kejohanan badminton ini dengan mendaftarkan diri sebelum November 23, 2018.

Dia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Jimmy Wong, Adun Sri Tanjong merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah atas sokongan beliau dengan menaja kejohanan badminton ini.

Majlis Pembukaan Kejohanan Badminton akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Frankie Poon Ming Fung sementara majlis penutupan akan dirasmikan oleh Datuk Jimmy Wong.

Presiden KBWT Lim Teck Kiong berkata, KBWT adalah organisasi bukan bermotifkan untung yang ditubuhkan secara rasmi pada Ogos tahun ini.

Matlamat KBWT adalah untuk memupuk dan melahirkan bakat baru badminton serta meningkatkan tahap permainan badminton dan memperkukuhkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Dia berkata, KBWT akan mengadakan pelbagai pertandingan badminton setiap tahun dan akan menjemput jurulatih ke Tawau untuk memberi tunjuk ajar dan latihan.

Sementara itu, ahli-ahli KBWT juga akan berpeluang menyertai pelbagai kejohanan badminton peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan peminat badminton warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas untuk menjadi ahli KBWT demi memperkasakan sukan badminton.

Menyentuh kejohanan badminton ini, ianya terdiri daripada lima kategori, iaitu Beregu Lelaki Terbuka, Beregu Lelaki Movies Tertutup Tawau, Beregu Veteran Campuran, Beregu Campuran; dan Beregu Wanita.

Pemenang johan akan menerima wang tunai sebanyak RM5,000 dan sebuah piala sementara naib johan wang tunai RM3,000 dan sebuah piala dan pemenang tempat ketiga akan menerima RM1,000 dan sebuah piala.

Kebelakangan ini, KBWT juga telah mengadakan lawatan ke Semenanjung Malaysia dan sempat mengadakan pertemuan dengan Koo Kien Keat, pemain badminton profesional Malaysia yang telah bersara dan beliau juga dilantik menjadi penaung kepada KBWT.

Koo juga akan datang ke Tawau menghadiri program Kejohanan Badminton pada 30 November sehingga 2 Disember 2018.

Peserta yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Best Secure (Kubota), Sri Matawau (Sabindo) atau di Dasabah (Sabindo) dan melampirkan salinan MyKad serta RM300 yuran penyertaan.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Liau 019-8235512 atau 013-8835899, Lim 014-3524867, Chek 016-8264852 dan Chin 0138819373.

KOO (kanan) menerima lantikan sebagai penaung kepada KBWT daripada Lim Teck Kiong.

AHLI-AHLI KBWT bergambar bersama Koo selepas mengadakan pertemuan dengan beliau di Semenanjung Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.