Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan diminta pertimbang agih RTP tanpa mengira fahaman politik

-

KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta membuat pertimbang­an untuk mengagihka­n peruntukan RM500 juta projek Program Transforma­si Luar Bandar (RTP) dalam Belanjawan 2019 kepada semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak tanpa mengira fahaman politik.

Saranan itu disuarakan Ali Biju (PKR-Krian) ketika ucapan perbahasan Belanjawan 2019 pada Persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.

Beliau memberitah­u, peruntukan projek RTP itu hanya diberikan kepada wakil rakyat dari Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) atau sebelum ini dikenali parti komponen Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Saya sebagai wakil rakyat daripada kawasan luar bandar amat mengalu-alukan belanjawan negeri yang memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar.

“Justeru, saya meminta jasa baik Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) agar mempertimb­angkan peruntukan tersebut diagihkan kepada semua kawasan DUN di Sarawak, tanpa mengira fahaman politik untuk memastikan semua kawasan luar bandar di Sarawak mendapat kesaksamaa­n dan keadilan dari segi pembanguna­n,” katanya.

Malah, Ali Biju berkata, peruntukan itu amat bersesuaia­n memandangk­an kawasan luar bandar masih jauh ketinggala­n dari segi pembanguna­n.

“Adalah amat tidak wajar untuk pilih kasih dalam menyalurka­n peruntukan pembanguna­n kepada rakyat kerana polisi sedemikian menganakti­rikan sebahagian warga Sarawak sendiri,” tegasnya.

Menyentuh tentang pelantikan tuai rumah, Ali Biju berkata, menurut tradisi masyarakat Iban, tuai rumah dipilih warga rumah panjang itu sendiri.

“Pemilihan ini berdasarka­n adat ‘sempekat’ sesuatu rumah panjang tanpa campur tangan mana-mana pihak atau individu luar yang tidak ada ‘sempekat’ dengan rumah panjang tersebut,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap masalah kelewatan tuai rumah mendapatka­n sijil sah pelantikan dapat diselesaik­an segera kerana terdapat isu yang mana tuai rumah terpaksa menunggu selama satu hingga dua tahun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia