Sarawak pengeluar gas asli terbesar di Malaysia dengan rizab 52.7 peratus

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Sarawak merupakan negeri pengeluar gas asli terbesar di Malaysia dengan rizab negara sebanyak 52.7 peratus.

Perkara itu didedahkan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol ketika menjawab pertanyaan Aidel Lariwoo (PBB-Sadong Jaya) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu, Sarawak mengeluarkan gas asli iaitu pada 52.89 TSCF daripada jumlah keluaran negara pada 2017 berdasarkan sumber ‘Malaysia Natural Gas Industry: Annual Review 2017 Edition, Malaysian Gas Association.’

“Negeri ini juga merupakan penyumbang terbesar melalui aliran pendapatan rizab gas tersebut daripada loji tahap dunianya di Bintulu-MLNG dan Shell MDS,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, untuk menambah penyertaan negeri dan pendapatan daripada rizab gas, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk memainkan peranan sebagai pengawal selia bersama dan pemain aktif Production Sharing Contracts (PSC) gas di negeri ini.

“Petros akan memperkukuhkan pengawasan sumber-sumber gas melalui Strategi Jaringan Bersepadu, mengimbangi bekalan huluan dengan penggunaan hiliran dan pendapatan yang disasarkan.

“Pada masa ini, Petros menyasarkan penyertaan di dalam PSC untuk beberapa aliran penjanaan pendapatan di Sarawak,” katanya.

Menurutnya lagi, sasaran awal adalah PSC yang sekarang ini dikawal sepenuhnya oleh Petronas.

Menjawab soalan tambahan berhubung nilai anggaran kewangan rizab gas di Sarawak dan berapa lamakah ia akan bertahan, Abdullah berkata, minyak dan gas di Sarawak menggunakanpiawaiannisbah rizab kepada pengeluaran kepada kadar pengurangan terserlah.

“Rizab negeri yang ditemui dianggarkan boleh memberi bekalan untuk 15 hingga 17 tahun pada kadar pengeluaran tahunan sebanyak 5,000 MMscf sehari.

“Oleh sebab itu, pentingnya negeri ini menerusi Petros menguatkuasakan pengawasan dan melindungi kepentingan minyak dan gasnya,” tegasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, portfolio aspirasi perniagaan dan peranan Petros digariskan oleh keinginan kerajaan negeri untuk meningkatkan sumbangan pendapatan dari hasil minyak dan gas kepada ekonomi dan pendapatan keseluruhan kerajaan negeri.

ABDULLAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.