MITI laksana kajian semula pentadbiran ke atas duti antilambakan import CRC

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan kajian semula pentadbiran ke atas duti antilambakan bagi import gegelung gulungan sejuk (CRC) dari China, Korea Selatan dan Vietnam.

MITI, dalam kenyataan kelmarin, berkata set soalan kaji selidik akan disediakan kepada pihak berkepentingan pada 12 Nov ini manakala pihak lain yang berminat boleh meminta soalan kaji selidik itu tidak lewat daripada 19 Nov.

“Pihak berkepentingan juga boleh menyediakan bukti sokongan tambahan kepada MITI sebelum 6 Dis ini. Sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh tersebut, kerajaan akan membuat penentuan akhir berdasarkan fakta terbaik yang ada,” menurut MIITI.

Menurut MITI, berdasarkan Akta 504 dan Peraturanperaturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, kerajaan akan menjalankan kajian semula pentadbiran selain penentuan akhir kajian semula pentadbiran akan dibuat dalam tempoh 180 hari daripada tarikh mula laksana itu.

Pada 11 Okt, kerajaan menerima petisyen daripada pihak berkepentingan yang mahu kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan bagi import CRC dari China, Korea Selatan dan Vietnam dijalankan.

Ini tertakluk kepada Seksyen 28 (1)(a) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504), yang mana ia berasaskan alasan bahawa margin lambakan telah berubah dengan ketara.

Siasatan antilambakan asal telah dijalankan pada 27 Ogos, 2015 dan duti antilambakan afirmatif akhir telah dikenakan bagi tempoh lima tahun mulai 24 Mei, 2016 hingga 23 Mei, 2021 dengan julat dari 3.06 peratus kepada 23.78 peratus. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.