Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan PH akan pulihkan sistem demokrasi, kata PM

-

KOTA BHARU: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan kepada rakyat bahawa sistem demokrasi yang telah dicalarkan oleh kerajaan terdahulu akan dipulihkan kembali bagi memberikan keyakinan semula kepada mereka.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berkata ke arah itu, menjadi prinsip kerajaan PH untuk mengasingk­an kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman dan bukannya seperti yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan terdahulu.

“Kita (kerajaan) akan hormati pemisahan kuasa antara ketiga-tiga itu dan bukannya seperti yang dilakukan pemimpin terdahulu yang tidak berbuat demikian sehingga bebas daripada segala undang-undang,” katanya.

“Kuasa yang akhirnya akan menentukan adalah kuasa kehakiman yang bebas pengaruh pihak tertentu yang dahulunya mereka tidak dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika berucap pada majlis mesra bersama kepimpinan PH Kelantan di sini pada Sabtu.

Lebih 1,000 pemimpin PH hadir pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata rakyat perlu memberi sokongan kepada kerajaan PH demi untuk negara agar tidak berulang kecurangan yang berlaku seperti sebelum ini.

Beliau berkata erti sebenar demokrasi adalah memberikan kebebasan sebenar kepada rakyat untuk membuat pilihan kerajaan dan ia terbukti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu apabila rakyat telah memilih kerajaan yang baharu.

Selain itu Dr Mahathir berkata kerajaan juga berjanji untuk terus mengabdika­n diri kepada rakyat dan berharap segala usaha ke arah kebaikan akan berhasil.

Sementara itu, perdana menteri yakin PH akan berjaya menawan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang berdasarka­n kepada sambutan rakyat negeri ini terhadap kerajaan kini.

Beliau percaya keikhlasan kerajaan untuk berbakti kepada rakyat akan dinilai oleh mereka dengan sebaik mungkin. -Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia