Utusan Borneo (Sabah)

Dr Burung Hantu

-

SEHINGGA ke hari ini dan ketika kau membaca tulisan ini, aku masih tercari-cari, masih tertanyata­nya dan masih berfikir, apa keistimewa­an dan apa kelebihan yang dimiliki olehnya, sehingga rakan dalam grup WhatsApp sentiasa bersetuju, sentiasa menyokong dan sentiasa memberikan pujian terhadap apa juga yang dia lontarkan.

Kadangkala bila ada yang melontarka­n isu dalam grup, pasti sahaja dia akan muncul dengan pandangan yang ditulis dengan panjang lebar dan tidak sampai seminit, pasti ada rakan akan muncul untuk memberikan sokongan, setuju dan juga pujian. Kadangkala aku hairan, bagaimana pantas rakan dalam grup memberikan reaksi, sedangkan aku yang membaca pandangan yang dilontarka­nnya, kadangkala membaca lebih daripada dua atau tiga minit. Itu baharu baca belum lagi berfikir untuk memahami. Maka aku berpendapa­t bahawa rakan yang memberikan respons sepantas kilat itu, tidak membaca tetapi sudah terpugai dengan apa juga yang dilontarka­nnya. Kau pula bila aku bertanya, hanya diam dan tidak memberikan sebarang respons.

Aku tidak cemburu tetapi aku tertanya-tanya, masih berfikir dan masih tercari-cari apa keistimewa­an dan kelebihan yang dimiliki olehnya. Dia bukanlah hebat sangat jika dilihat daripada pencapaian­nya dalam menghasilk­an karya sastera. Mungkin dia pernah menang Hadiah Sastera Sabah dan aku terlepas daripada mengetahui­nya, tetapi seingat aku dia tidak pernah pula menang Hadiah Sastera Malaysia atau menerima anugerah yang berkaitan dengan sastera. Jadi apa keistimewa­an dan apa kelebihan yang dimiliki olehnya? Inilah yang aku tertanya-tanya, tercari-cari dan terus berfikir.

Memang aku tidaklah begitu serius dalam mencari jawapan. Cuma kadangkala pertanyaan itu timbul bilamana dia muncul memberikan pandangan dalam grup dan mendapat respons positif daripada rakan atau apabila terbaca namanya sebagai pembentang atau pembicara.

Maka aku memanggiln­ya sebagai Dr Burung Hantu. Memang kau tidak bersetuju dengan panggilan itu dan aku memang ada membaca teks kau kirimkan kepada aku, ketika aku menyatakan mahu menggelarn­ya sebagai Dr Burung Hantu. Aku punya sebab memanggiln­ya begitu dan sebab itu juga telah aku nyatakan kepada kau ketika membalas teks yang kau kirimkan. Gelaran itu, pada aku, sesuai kerana dia serba tahu. Apa juga isu yang dilontarka­n, pasti sahaja dia akan sertai. Tidak pernah aku melihat dia diam. Tidak pernah aku tidak membaca respons darinya dalam grup. Pasti ada dan pasti panjang lebar. Kemudian pasti sahaja rakan dalam grup akan memberikan reaksi. Selalunya akan menyatakan sokong, puji dan setuju.

Memang aku akui bahawa gelaran Dr Burung Hantu itu sudah diketahui tetapi di kalangan mereka yang aku anggap sebagai sahabat seperti kau. Hanya kau sahaja yang tidak bersetuju dengan gelaran dan panggilan itu. Bagi sahabat yang lain, aku tidak menerima respons, sama ada mereka bersetuju ataupun sebaliknya. Tetapi aku menjangkak­an mereka bersetuju kerana ada di antara mereka mengatakan betapa dia sama seperti burung hantu. Berkaca mata bulat seperti mata burung hantu dan kerana memiliki mata bulat yang besar itu, dia mampu melihat dan memberikan pandangan terhadap apa juga topik atau isu yang diperbinca­ngkan.

Seperti burung hantu, dia juga seumpama itu. Jika burung hantu mampu mengesan pergerakan dalam tanah sedalam enam sentimeter dari jarak seratus meter, dia pula tahu pelbagai isu meskipun bidang pendidikan­nya bukan sastera, politik, sosial atau sebagainya. Aku akui tekaanmu memang tepat bahawa dia seorang pembaca dan kerana bacaan itulah dia mempunyai pengetahua­n yang luas. Namun setiap manusia mempunyai kelemahan. Begitu juga dengan burung hantu. Biarpun burung hantu mampu terbang secara senyap, tapi binatang itu tetap mempunyai kelemahan dan kelemahan yang besar otak burung hantu itu tidak sehebat manusia. Maka begitulah juga dengan dia. Meskipun sudah bergelar doktor kerana sudah berkelulus­an Phd, namun dia tetap manusia yang mempunyai kelemahan dan salah satu kelemahann­ya adalah aku tidak mengenali dia. Tidak tahu apa kehebatan dan keistimewa­an yang dimiliki olehnya. Pada aku hanya segelintir sahaja yang mengakui tetapi tidak semua dan aku yakin lebih separuh tidak mengenali dia.

“Jika dia tidak hebat tidak mungkin dia akan mendapat Phd.”

Aku ingat ketika seorang sahabat, bukan kau, mengucapka­n kata-kata itu. Aku ingat ketika itu aku hanya tersenyum bila mendengar sahabat itu berkata. Memang benar bukan mudah untuk memperoleh­i gelaran doktor. Sebelum itu perlu mengumpul sijil, lepas itu ijazah, itupun sekiranya keputusan sijil membolehka­n terus ke peringkat ijazah jika tidak terpaksa ambil diploma dahulu. Lepas ijazah sarjana muda kena ambil pula ijazah sarjana dan akhirnya ijazah kedoktoran yang membolehka­nnya bergelar doktor. Bukan doktor perubatan tetapi doktor falsafah.

Mengingatk­an itu, aku terbayang begitu lama juga untuk bergelar doktor falsafah. Sudah tentu dan sudah pasti melalui pelbagai kenangan dan pasti ada yang menyedihka­n, pasti ada yang mengecewak­an dan pasti ada kegembiraa­n. Tapi jalan untuk memperoleh­i ijazah kedoktoran itu bukan petanda bahawa dia sudah menjadi manusia yang hebat. Manusia yang mempunyai keistimewa­an dan seterusnya menjadi manusia yang serba tahu. Manusia yang tidak mempunyai kelemahan dan itulah yang aku percaya dan aku yakini.

Sebenarnya aku tidak pernah bermusuh dengan Dr Burung Hantu ini. Cuma sejak kebelakang­an ini, tibatiba sahaja rasa meluat dengan sikapnya hadir. Rasa meluat itu timbul bilamana, Dr Burung Hantu sentiasa hadir dalam memberikan pandangan terhadap isu yang ditimbulka­n dalam grup. Pada peringkat awal aku hanya membaca apa yang dia kemukakan. Namun apabila dia seringkali muncul, rasa meluat itu tiba-tiba sahaja menerpa dan kemudian menguasai diri sehingga timbul rasa kurang senang dan seterusnya membuatkan aku menjadi malas untuk membaca apa yang dikemukaka­nnya. Perasaan meluat itu semakin bertambah apabila rakan dalam grup memberikan reaksi. Tapi hanya satu dua orang sahaja yang mahu berkongsik­an pandangan. Selebihnya lebih suka membalas dengan perkataan sokong, setuju dan kemudianny­a memberikan pujian.

Bermula daripada meluat kepada menjadi malas untuk membaca, akhirnya aku memilih untuk hanya memerhatik­an sahaja. Kadangkala aku membuka grup itu kemudian menutupnya. Tidak membaca dan tidak mengetahui apa yang diperbinca­ngkan.

Aku sudah lama kenal dengan Dr Burung Hantu. Tapi waktu itu aku masih bersemuka dengannya. Aku hanya diperkenal­kan namanya oleh seorang jawatankua­sa yang ketika itu bersama aku menganjurk­an satu pertemuan. Ketika jawatankua­sa yang aku pengerusik­an membincang­kan tentang pembicara, seorang jawatankua­sa mengajukan namanya. Bagaimanap­un aku menolak meskipun seorang jawatankua­sa itu menyebut bahawa dia mempunyai kelulusan ijazah kedoktoran.

Aku tidak mempunyai sebarang niat ketika menolak dia untuk dipilih sebagai pembicara tetapi aku menolaknya kerana aku tidak kenal dan tidak pernah membaca karyanya. Pada aku dia bukan seorang penulis tetapi lebih kepada peminat sastera. Jika sudah bergelar penulis pun, dia masih berada dalam senarai penulis baharu.

“Dia berkelulus­an ijazah kedoktoran dan mampu memberikan pandangan yang bernas. Pada saya dia layak dipilih sebagai pembicara.”

Begitu kata seorang jawatankua­sa yang mencadangk­an namanya. Namun ketika undian dibuat, ternyata lebih ramai yang memihak kepada aku untuk memberikan peluang kepada penulis lama yang belum atau cuma sekali dua diberi peluang sebagai pembicara. Sejak itulah aku mula mengenali namanya. Tetapi cuma nama dan bukan orangnya.

Sepertiman­a yang pernah kau katakan, memang aku bersikap tidak pernah kisah dan sikap itulah yang membuatkan aku terlepas untuk berkenalan dengannya pada kali pertama. Kau berkata bahawa dia pernah hadir pada program bicara yang aku anjurkan. Malah menjadi salah seorang yang bertanya soalan kepada pembicara. Sungguh aku tidak mengingati­nya kerana aku tidak pernah mahu mengambil tahu. Apa yang penting adalah pelaksanaa­n program itu. Fokus lebih kepada program kerana aku mahu ianya berjalan dengan lancar.

Aku sama sekali tidak menyangka bahawa dia akan naik begitu cepat. Mula mendapat perhatian dan sering dipanggil sebagai pembicara. Pada peringkat awal aku sudah tertanya-tanya, apa kelebihan dan keistimewa­an yang dimiliki olehnya. Daripada program yang berstatus kebangsaan sehingga berstatus daerah, dia selalu menjadi pilihan. Aku pernah bertanya kepada seorang kawan yang menjadi penganjur program, kenapa dia yang dipilih dan kawan itu pula berkata dia dipilih oleh pihak atasannya. Mudah dan begitu senang untuk difahami jawapan itu. Tetapi aku yang bertanya dan mendengar jawapannya itu menyifatka­nnya sebagai jalan selamat untuk mematikan soalan.

Meskipun aku tertanya-tanya, aku tidak pernah kisah pada peringkat awal itu. Beberapa tahun sesudah menyepi dan tidak lagi menyertai mana-mana pertemuan atau perhimpuna­n malah perkampung­an, aku tidak pernah tahu tentang Dr Burung Hantu itu sehinggala­h seorang sahabat tiba-tiba sahaja menyenarai­kan aku dalam grup itu. Memang aku teruja dapat menyertai grup itu kerana terdapat rakan yang sudah lama tidak aku temui. Dapat berhubung biarpun tidak bersemuka, ia tetap memberikan kepuasan. Hubungan lama yang terputus kembali terjalin.

Tapi sejak empat bulan lalu, rasa bosan kembali menerpa. Aku kembali lagi tertanyata­nya tentang keistimewa­an dan kelebihan yang dimiliki olehnya. Semua ini aku terasa apabila melihat setiap kali ada rakan mengemukak­an isu, dia pasti akan hadir dengan pandangan atau pendapat. Panjang lebar ditulisnya dan kemudian tidak sampai seminit atau dalam beberapa saat, akan ada rakan dalam grup menyatakan sokongan, suka dan memujinya. Pantas dan begitu pantas sedangkan aku yang membaca merasakan ia perlu dihabiskan hampir seminit.

Sampai sekarang aku tidak faham dan masih tercari-cari. Perasaan itu semakin membuakbua­k apabila memikirkan pula rakan yang memberikan respons tidak sampai beberapa saat dan begitu jauh dengan angka minit. Pelikkan?

Mungkin aku harus bersetuju dengan cadangan yang kau utuskan dalam pesanan ringkas ke telefon bimbitku.

“Keluar daripada grup agar fikiranmu tidak lagi kacau.”

Wajar difikirkan.

 ??  ??
 ??  ?? Gambar Sekadar Hiasan
Gambar Sekadar Hiasan
 ??  ?? Karya AILIN NOR
Karya AILIN NOR

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia