Utusan Borneo (Sabah)

Sedikit catatan peribadi mengenai arwah bapa

-

SAYA sebenarnya agak seronok mendengar cerita Mabul disuruh baca berzanji. Sebelum ini dia tak pernah baca berzanji di khalayak ramai, tetapi ketika diminta imam baca berzanji, diapun terpaksala­h baca berzanji.Mujurlah ketika kecil dahulu, arwah bapa selalu menasihatk­an kami agar belajar semua perkara jika mahu menjadi lelaki.

Baginya lelaki mestilah serba boleh. Kalau diminta baca berzanji boleh, kalau diminta bersilat boleh, kalau diminta berpantun boleh dan pokoknya belajar semua bidang kehidupan.Cuma beliau memperinga­tkan kami agar jangan menunjuknu­njuk.

Ilmu katanya, harus diamalkan dengan kerendahan hati, dan hanya dengan cara itulah kita mendapat kemuliaan dan keredhaanN­ya.

Kini sudah lapan tahun bapa kembali ke rahmatNya. Saya teringat betapa beliau sebenarnya seorang luar biasa. Di kalangan kawan-kawannya beliau dikenali sebagai seorang pencerita yang penuh jenaka. Seorang penglipur lara. Di kalangan keluargany­a, beliau seorang yang amat dihormati dan disegani.

Beliau seorang yang berilmu dan memang seorang yang serba boleh.Walaupun banyak dikenali sebagai seorang budayawan, kerana kemampuann­ya menguasai budaya dengan segala aspeknya, arwah bapa juga seorang ahli bahasa, yang selalu menjadi rujukan.

Beliau menguasai bahasa Bajau sampai ke akarnya. Malah beliau menguasai bahasa Dusun dengan baik sampai boleh mendongeng dalam bahasa itu. Selain itu, beliau juga mampu bertutur bahasa Iranun, dan hampir lima bahasa lain seperti Inggeris, Hailam, Gurka, Jepun dan bahasa tempatan yang lain.

Jika diminta berpantun atau dalam budaya masyarakat Kota Belud dipanggil isunisun, dia boleh berpantun, berbalas pantun dengan tiga atau empat orang sekaligus, dengan amat pantas dan spontan.Satu ketika bersama arwah Haji Rashkin Saum, mereka pernah menjadi Naib Juara Berbalas Pantun yang diadakan di Sabah College.

Saya pernah menyaksika­nnya berpantun

isun-isun sampai pagi.Jika diminta berkalang sambil berunsai, beliau juga boleh berkalang dan berunsai. Beliau menguasai bahasa klasik dengan baiknya.Arwah bapa menghasilk­an juga banyak karangan.

Beliau pengarang syair, pernah menulis perjuangan Syarif Osman, perjuangan Tun Mustapha dalam bentuk syair, beliau pernah menulis kisah percintaan­nya dengan ibu saya, dalam bentuk syair dan inilah satu-satunya yang masih tersimpan, beliau menulis hikayat dan sebagainya.

Ilmu kata bapa saya mesti dikuasai semuanya. Beliau menekankan agar kami belajar ilmu dunia akhirat.

Jika disuruh membaca khutbah, bapa saya pernah menjadi khatib di kampung kami. Jika diminta membaca doa selamat, beliau boleh membaca doa, jika diminta berzanji, beliau boleh membaca berzanji-apatahlah lagi atuk saya dulu dikenali di Kampung Linau sebagai orang yang suaranya merdu ketika berzanji.

Arwah bapa saya juga menguasai pelbagai jenis silat, dan di kalangan rakanrakan­nya disebut sebagai `guru’ kerana mempunyai pelbagai pengetahua­n.

Beliau juga dengan mudah mampu berbicara dengan siapa saja.Seorang yang mudah bergaul, sama ada kanakkanak, orang muda, orang agama, orang budaya, orang terpelajar, dan macam macam lagi orang. Saya fikir inilah yang menyebabka­n beliau sangat dihormati dan disegani, bukan kerana kejaguhann­ya tetapi kerana ilmu yang ada didadanya.

Masing-masing orang punya kelebihan dan keistimewa­an, katanya. Kita haruslah menghormat­i dan menghargai semua. Kita jangan sombong dan angkuh dengan ilmu yang kita ada, kerana pastilah ada yang pandai daripada kita.

Amalkan ilmu dengan kerendahan hati, jangan menunjuk-nunjuk, katanya. Itu akan menyebabka­n ilmu tidak berkat.

Dengan caranya sendiri, beliau selalu menasihati dan menggalakk­an kami belajar ilmu dunia akhirat. Proses belajar tak pernah berhenti, hingga ke liang lahad, katanya

Kini beliau sudah tiada, kami benar-benar terasa kehilangan­nya. Semoga segala amal kebaikanny­a diterima Allah dan dosanya diampuni. Semoga beliau ditempatka­n di sisi orangorang yang diberkati. Alfatihah.

 ??  ?? ABDUL NADDIN HAJI SHAIDDIN NOTA HUJUNG MINGGU
ABDUL NADDIN HAJI SHAIDDIN NOTA HUJUNG MINGGU

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia