Peruntukan RM81.7 juta tangani sekolah daif bukti komitmen kerajaan Sarawak
KUCHING: Peruntukan RM81.7 juta untuk menangani sekolah daif di negeri ini dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2019 membuktikan komitmen kerajaan negeri kepada pendidikan.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata, kesatuan amat menghargai inisiatif itu bagi menangani masalah sekolah daif.
“Dengan peruntukan ini, membuktikan bahawa kerajaan negeri rela serta berkorban menggunakan dana simpanan negeri demi memastikan masalah sekolah daif dapat ditangani serta diselesaikan dengan cara yang terbaik.
“Justeru, dengan komitmen yang tinggi daripada kerajaan negeri ini, KGBS turut mengharapkan agar dengan peruntukan RM100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kerajaan persekutuan barubaru ini, Sarawak mendapat agihan jumlah besar.
“Ini memandangkan jumlah sekolah daif masih banyak terdapat di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo di sini, pada Sabtu.
Ahmad berkata, KGBS juga mengharapkan agar kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat menimbangkan gesaan KGBS demi membuktikan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan.
Di samping itu katanya, kesatuan melihat penggemblengan keduadua peruntukan bajet dari kerajaan negeri dan persekutuan itu sebagai kolaboratif yang mantap untuk menangani masalah sekolah daif di Sarawak.
“KGBS amat mengalualukan persefahaman serta kolaboratif seperti ini demi meningkatkan prasarana dan prestasi pendidik yang seimbang tanpa mengira lokaliti sesebuah sekolah.
“Ia seperti yang dihasratkan oleh KPM di samping dapat dimanfaat secara terbaik oleh kumpulan sasarannya,” katanya.