Sediakan tanah agar lebih banyak rumah dapat dibina
Zuraida berharap kerajaan Sarawak beri kerjasama bantu B40 miliki rumah yang dibina dengan kos lebih murah
MIRI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berharap kerajaan Sarawak dapat memberi kerjasama dalam menyediakan tanah untuk membolehkan lebih banyak rumah bagi golongan berpendapatan sederhana dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dibina dengan kos yang lebih murah.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan persekutuan sentiasa bersedia untuk bekerja rapat bagi merealisasikan impian itu, dengan syarat ada komitmen tinggi daripada Sarawak.
“Kami tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama kerana kerajaan Sarawak mempunyai tanah yang banyak untuk projek itu.
“Beri kami tanah itu dan juga kerajaan negeri boleh menggunakan sebahagian daripada rizab RM36.8 bilion untuk menyediakan prasarana yang tersedia di kawasan ini, sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kos rumah bagi rakyat,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Vista Perdana Fasa 2, Miri kepada 10 pembeli di Naim Club House, pada Jumaat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg diwakili oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.
Zuraida menambah, di bawah kajian semula Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), sejumlah satu juta rumah atau 100,000 rumah setiap tahun akan disediakan.
Daripada angka itu, 20,000 unit adalah untuk Sarawak dan Sabah.
Sementara itu, Zuraida pada sidang media kemudian menambah, kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengetepikan Sarawak atau negeri-negeri lain di negara ini dalam semua projek pembangunan termasuk projek perumahan.
Memberi jaminan beliau berkata, di bawah Dasar Perumahan Negara (NHP), lebih ramai penduduk terutama golongan berpendapatan sederhana dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dijangka memiliki rumah.
“Orang ramai boleh menjangkakan rumah lebih murah di bawah dasar baharu ini kerana semua syarikat utiliti dijangka menanggung kos menyediakan prasarana yang tersedia untuk kemudahan masing-masing di kawasan perumahan baharu,” katanya.
Projek perumahan Vista Perdana Fasa 2 di Permyjaya, Miri dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan Kumpulan Syarikat Naim.
“Kami tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama kerana kerajaan Sarawak mempunyai tanah yang banyak untuk projek itu. ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan