Utusan Borneo (Sabah)

Keputusan salah laku Ketua Jabatan Ortopedik diketahui Jumaat ini

-

IPOH: Keputusan berhubung dakwaan salah laku seksual seorang ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang dijangka diketahui pada 16 Nov ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kementeria­nnya akan memecat ketua jabatan berkenaan dari jawatannya sekiranya dia didapati bersalah.

“Jika dia didapati bersalah, kami akan pecatnya daripada jawatannya tetapi kami mesti mengikut proses yang wajar dan kami akan merujuknya kepada Majlis Perubatan Malaysia dan agensi penguatkua­saan lain,” katanya.

Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng bercakap demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Menderma Darah di Gunung Rapat, di sini pada Ahad.

Menurut laporan akhbar pada 29 Julai lalu, kes berkenaan melibatkan gangguan seksual dan buli beberapa kali oleh seorang ketua jabatan o r top e di k di hospital berkenaan terhadap pegawai di bawah seliaannya.

Mengulas lanjut, Lee berkata kira-kira 30 individu termasuk mangsa telah mengemukak­an aduan berhubung kes berkenaan.

Pada 15 Okt lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeria­nnya telah membentuk sebuah Jawatankua­sa Siasatan Khas bagi melengkapk­an maklumat siasatan awal oleh badan siasatan bebas berhubung dakwaan salah laku seksual berkenaan.

Menurut Dzulkefly, jawatankua­sa itu ditubuhkan pada 24 Sept lepas susulan daripada laporan yang dikeluarka­n oleh badan siasatan bebas itu pada 18 Sept lalu.

Katanya langkah itu bagi membolehka­n pertimbang­an dibuat berhubung tindakan tatatertib yang wajar diambil ke atas ketua jabatan berkenaan selaras dengan Peraturan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia