Utusan Borneo (Sabah)

Debek dan BB jadi tumpuan pertanding­an lembu sado

-

KUALA TERENGGANU: Dua ekor lembu sado yang diberi nama ‘Debek’ dan ‘BB’ yang dipelihara dua pelajar sekolah rendah mencuri perhatian pada pertanding­an lembu sado peringkat negeri Terengganu di sini.

Syaher Farhuddin Mohd Saffian,9, dari Sekolah Kebangsaan Teluk Pasu dan Mohd Fazreel Harris Mohd Fadli, 12, dari Sekolah kebangsaan Banggol Peradong, di sini masing-masing memelihara seekor lembu sado yang dibeli ayah mereka awal tahun ini.

“Oleh kerana saya minat nak bela lembu sado, jadi ayah beli seekor anak lembu jantan baka Charolias dengan harga RM9,000 untuk saya menjaganya sendiri,” kata Syaher ketika ditemui pemberita pada pertanding­an itu di sini, pada Sabtu.

Syaher berkata lembu bernama ‘Debek’ dan berumur 16 bulan itu kini sudah mencecah 400 kilogram hanya kira-kira selepas setahun ayahnya, Saffian Endut, membeli lembu itu dari seorang peniaga lembu di Sungai Ikan di sini.

Debek yang sangat jinak dan senang dijaga hanya perlu diberi makan dua kali sehari, katanya.

Bagi Mohd Fazreel Harris pula, ayahnya yang jua penternak lembu telah membeli lembu sado dari baka ‘Belgium Blue’ untuk beliau pelihara dengan harga RM8,000 daripada seorang penternak lembu.

Beliau berkata, lembunya yang berwarna berbintik-bintik hitam puteh dipanggil ‘BB’ kini sudah menjangkau 12 bulan dengan berat lebih 300 kg.

“Saya memelihara BB di dalam sebuah kandang dengan memberi makan dua kali sehari setelah pulang dari sekolah dan pada waktu senja,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Veterinar Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, progam anjuran Kelab Penternak Lembu Sado dengan kerjasama jabatannya dan Institut Penyelidik­an dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mendapat sambutan baik daripada kalangan penternak dan peminat lembu sado.

Progam yang pertama kali diadakan itu mendapat 53 penyertaan lembu sado dengan nilai keseluruha­n lembu mencecah RM674,100, dengan nilai tertinggi lembu sado itu berharga RM25,000 seekor. Lembu Sado ini yang berbadan besar berasal dari Eropah.

Beliau berkata pertanding­an itu diadakan dalam empat kategori iaitu King Of Sado, Queen Of Sado, Princes Of Sado dan Princeses Of Sado.

Mohd Termizi berkata, pertanding­an itu akan dijadikan pertanding­an tahunan di mana tahun hadapan diadakan dua kali iaitu pertengaha­n dan akhir tahun bagi memberi peluang penternak dan peminat lembu sado menyertain­ya.

Pada pertanding­an itu Mohd Marzuki Yusof, menjadi juara bagi kategorti lembu sado King Of Sado dengan memenangi hadiah seekor lembu manakala bagi kateori Queen Of Sado dimenangi Abdullah Ahmad yang membawa pulang seekor anak lembu.

Bagi kategori Prince Of Sado pula dimenangi Ahmad Baharuddin Mohd Ramli yang memenangi sebuah mesin rumput dan kategori Princess Of Sado dimenangi Talib Awang Besar yang membawa pulang sebuah troli rumput.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia