Utusan Borneo (Sabah)

'The Bos Gaurus bakal terima RM10,000

-

KUALA KANGSAR: Pemain serta pegawai pasukan bola sepak Perak masing-masing bakal menerima insentif berupa wang tunai RM10,000 dan satu lot tapak rumah sebagai ganjaran memenangi Piala Malaysia pada 27 Okt lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata habuan tersebut tidak termasuk insentif yang akan diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Lokasi lot tanah tersebut perlu dirujuk kepada Pegarah Tanah dan Galian negeri manakala insentif (RM10,000) kepada pasukan The Bos Gaurus (TBG) itu akan diberikan dalam masa terdekat.

“Insentif daripada PAFA pula saya tidak begitu pasti, tetapi saya percaya wang yang dimenangi selepas menjulang Piala Malaysia itu akan diberikan kepada pemain,” katanya kepada pemberita pada program Larian Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Dataran Pavilion di sini pada Ahad.

TBG di bawah bimbingan jurulatih Mehmet Durakovic menamatkan kemarau 18 tahun apabila muncul juara Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Stadium Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk memberi insentif kepada pasukan hoki Perak selepas mengekalka­n kejuaraan divisyen satu Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak.

“Kerajaan negeri juga perlu memikirkan insentif kepada pemain hoki negeri, namun saya belum dapat buat pengumuman hari ini kerana perkara itu belum dibincangk­an dalam mesyuarat kerajaan negeri ,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia