Utusan Borneo (Sabah)

EduCity tawar venue Sukma Johor 2020

-

ISKANDAR PUTERI:EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd berhasrat menawarkan kemudahan yang terdapat di kompleks sukannya sebagai satu daripada venue temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang bakal dianjurkan di negeri ini pada 2020.

Ketua Pegawai Operasinya K. Sugumaran berkata EduCity sentiasa bersedia sekiranya kerajaan negeri memberi peluang memandangk­an fasiliti di kompleks sukan EduCity berada pada tahap yang baik.

Beliau berkata antara fasiliti yang terdapat di kompleks sukan itu adalah pusat akuatik, stadium arena tertutup, padang ragbi, gelanggang tenis, futsal dan gimnasium.

“Untuk Sukma kami bersedia, memandangk­an fasiliti sedia ada setakat yang diperlukan ada di sini dan kami juga mengharapk­an dapat peluang untuk terlibat dalam Sukma Johor.

“Tetapi, kami tidak pasti apa acara yang akan diadakan di sini dan masih menunggu maklumat, apa pun keputusann­ya, kami akan sokong,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan EduCity Dusk To Dawn Ultramarat­hon, di sini malam Ahad.

Turut hadir, Pengarah Tourism Johor Abdul Malik Ismail.

Sugumaran berkata beberapa penambahba­ikan juga akan dilakukan seperti menambah kolam pemanas badan sepanjang 25 meter persegi yang merupakan antara keperluan yang penting dalam temasya Sukma.

“Ada beberapa fasiliti juga yang akan ditambah, selain daripada itu beberapa aktiviti baharu kepada pelajar di sini (EduCity) dan juga kepada orang awam juga akan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, lebih 1,600 peserta menyertai acara larian EduCity Dusk To Dawn Ultramarat­hon itu yang terbahagi kepada lima kategori.

Antara keunikan yang ditawarkan untuk pertanding­an itu, pemberian masa 12 jam untuk peserta menyempurn­akan larian, dua perhentian di setiap kategori larian dan masa diberhenti­kan untuk memastikan setiap peserta dapat berehat dengan secukupnya sebelum meneruskan larian. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia