Perintah Berkurung 101 mula berkuat kuasa
KOTA KINABALU: Perintah Berkurung baharu nombor 101 mula berkuat kuasa selama 24 jam bermula jam 6 petang 12 November 2018.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkenaan dilanjutkan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Polis 1967.
Katanya, Perintah Berkurung itu akan dilanjutkan oleh Menteri Dalam Negeri selama 14 hari bermula 13 November hingga 27 November 2018 jam 6 petang di bawah Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.
“Dengan berkuatkuasanya Perintah Berkurung ini orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah.
“Orang lain juga tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang disytiharkan antara jam 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh yang dinyatakan.
“Perintah Berkurung ini juga meliputi kawasan yang sama dengan Perintah Berkurung nombor 100,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata kawasan terbabit termasuklah perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, dan Beluran.
Omar berkata, keperluan untuk meneruskan Perintah Berkurung bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas.
Selain itu katanya, ia bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).
“Arahan ini juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktivitiaktiviti perikanan.
“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon aktiviti perikanan atau laluan yang mendesak,” katanya.