Utusan Borneo (Sabah)

Tunku Ismail mahu kes penderaan seksual kanak-kanak ditangani

-

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak dipandang serius dan ditangani.

Menurut catatan yang dimuat naik dalam laman Facebook HRH Crown Prince of Johor pada Isnin, Tunku Ismail bertitah penderaan seksual terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

“Membaca berita mengenai bayi berusia sembilan bulan yang meninggal dunia dipercayai telah dirogol, diliwat dan didera adalah sangat menyakitka­n hati dan mengganggu perasaan.

“Penderaan seksual kanakkanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan. Ia adalah perkara yang serius yang perlu ditangani kerana ia tidak boleh diterima oleh pelbagai peringkat, termasuk agama,” titah baginda menerusi catatan berkenaan.

Tunku Ismail bertitah baginda dan isteri Che Puan Khaleeda Bustaman, yang juga ibu bapa, amat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahter­aan kanak-kanak dari semua peringkat umur.

“Oleh itu, kami akan mengambil tanggungja­wab menjadi sebahagian daripada kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDAK) untuk menyokong dan meningkatk­an kesedaran masyarakat mengenai penderaan seksual kanakkanak.

“Keluarga saya, terutamany­a bonda saya (Permaisuri Johor) Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan adik perempuan, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, telah menzahirka­n kebimbanga­n mereka sebelum ini dan meneruskan kempen seperti ini dengan harapan dapat membawa kesedaran terhadap perkara seperti ini,” titah baginda.

Pada Ahad, seorang bayi perempuan dilaporkan meninggal dunia kerana didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh di Bandar Baru Bangi, Kuala Lumpur.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia