Utusan Borneo (Sabah)

Kuota pemilikan hartanah oleh warga asing akan disemak: Zuraida

-

KEMENTERIA­N Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyemak semula kuota pemilikan rumah atau hartanah oleh warga asing agar ia boleh dijadikan garis panduan untuk pemaju dan pihak berkuasa negeri, Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata setakat ini, jumlah hartanah yang dimiliki warga asing di negara ini tidak melebihi satu peratus. “KPKT akan membincang­kan mekanisme yang lebih terperinci yang boleh diguna pakai oleh pihak berkuasa negeri,” katanya menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai kaedah sesuai untuk mengekang pembelian hartanah oleh warganegar­a asing selain penetapan nilai ambang yang pernah dikuatkuas­akan sejak 2009.

Zuraida menjelaska­n satu penetapan baharu telah dilaksanak­an pada Mac 2014 yang mana had nilai minimum harga perolehan tanah untuk warga asing adalah sebanyak RM1 juta ke atas.

Beliau berkata dalam usaha untuk mengekang pembelian tanah oleh warga asing, KPKT menerusi Belanjawan 2019 juga telah membuat penetapan baharu bagi pelupusan harta tanah, saham dan syarikat hartanah selepas lima tahun yang mana kadar cukai keuntungan hartanah dinaikkan daripada lima peratus kepada 10 peratus bagi syarikat dan individu bukan warganegar­a dan bukan pemastauti­n tetap.

Kementeria­n itu turut mengambil inisiatif menyelaras­kan perbezaan harga rumah dan jenis rumah yang boleh dimiliki warga asing.

“Selain itu, kadar duti setem bagi pemilikan hartanah bernilai lebih RM1 juta dinaikkan sebanyak satu mata peratusan daripada tiga peratus kepada empat peratus,” jelas Zuraida.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia