Utusan Borneo (Sabah)

Perjanjian dengan syarikat kontraktor air di peringkat akhir

-

KEMENTERIA­N Infrastruk­tur Sabah kini dalam peringkat akhir untuk meneliti semula perjanjian bersama kontraktor air yang dibuat sebelum ini bagi mengurangk­an kos yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri kepada syarikat yang terlibat.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata sebanyak enam buah syarikat yang menandatan­gani kontrak itu selama 20 tahun untuk mengurus bekalan air tidak mampu menyelesai­kan masalah air yang dihadapi di negeri ini.

“Sekiranya kontraktor yang dilantik ini diambil atau diselia oleh kementeria­n, kita boleh mengurangk­an jumlah kos yang diberikan kepada kontraktor itu sehingga RM1 bilion,” katanya pada sesi soal jawab persidanga­n Dewan Undangan Negeri, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Masiung Banah (UPKOKuamut) yang ingin tahu perancanga­n kerajaan baharu berhubung perjanjian syarikat kontraktor air yang dibuat di bawah kerajaan terdahulu.

Peter berkata syarikat berkenaan yang mengendali­kan sebanyak 58 loji tidak mengeluark­an kos perbelanja­an sebaliknya ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri yang perlu membayar sebanyak RM15.5 juta sebulan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) Peter berkata cadangan tapak pembinaan Empangan Kaiduan, Papar kini juga di peringkat akhir manakala semua empangan di setiap daerah termasuk Keningau akan ditambah baik. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia