Utusan Borneo (Sabah)

Syarikat kosmetik didenda RM5,000 miliki 245 unit pelembap bibir tiruan

-

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat yang menjual barangan kosmetik didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memiliki 245 unit pelembap bibir tiruan jenama Vaseline, tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhka­n hukuman itu ke atas wakil syarikat Zaid & Rafiq Brothers Sdn Bhd, Rashdan Ab Ghani ,46, selaku Orang Kena Saman (OKS), yang juga pengarah syarikat berkenaan, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Syarikat itu didakwa dalam milikannya untuk pembekalan barang-barang iaitu Vaseline Lip Therapy (Original) 220 unit dan Vaseline Lip Therapy (Cocoa Butter) 25 unit yang baginya suatu dagangan palsu digunakan berhubunga­n dengan cap dagangan berdaftar Vaseline.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Zaid & Rafiq Brothers Sdn Bhd, Lot. 6.21, tingkat enam, Plaza GM, Lorong Haji Taib di sini pada 12.05 tengah hari, 31 Okt, 2017.

Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 8 (2) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2) (A) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepengguna­an (KPDNKK) Nurul Azrina Mohamed Yusof memohon hukuman berat terhadap syarikat itu dengan alasan kesalahan ini boleh menjejaska­n kepentinga­n awam. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia