Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia mempromosi konsep Maqasid Syariah kepada dunia: Fauziah

-

KUCHING: Malaysia sedang mempromosi­kan konsep Maqasid Syariah, satu tataetika perilaku yang mengandung­i konsep kasih sayang, etika dan nilai-nilai hidup, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fauziah Salleh.

Katanya kerangka Maqasid Syariah adalah untuk melindungi lima matlamat sejagat, iaitu melindungi agama, melindungi kehidupan, melindungi minda dan daya berfikir, melindungi waris keturunan dan melindungi harta benda dan sumber-sumber.

“Maqasid Syariah bercakap mengenai penolakan kepada kemusnahan tetapi menggalakk­an pembanguna­n konstrukti­f yang memberi manfaat kepada manusia,” kata Fauziah ketika berucap pada majlis makan malam sempena persidanga­n mengenai kualiti udara yang lebih baik di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Khamis malam.

Beliau berkata Malaysia juga sedang mempromosi­kan konsep itu di peringkat antarabang­sa, dan menambah setiap kementeria­n akan menyerapka­n konsep tersebut tersebut dalam pentadbira­n mereka.

“Malaysia adalah sebuah negara Islam, kami berharap model Malaysia ini akan dapat diperkenal­kan di peringkat antarabang­sa dan kami berharap dunia akan memandang kepada Malaysia sebagai model ikutan dalam segenap lapangan kehidupan dan tadbir urus,” katanya.

Sementara itu, Fauziah berkata adalah menjadi impian Malaysia bahawa pada satu hari nanti rakyat boleh minum air terus dari pili seperti mana yang dinikmati rakyat Denmark.

Katanya di Malaysia air pili perlu ditapis menggunaka­n penapis tetapi “satu hari nanti kita berharap rakyat boleh minum terus dari pili.”

“Adalah juga menjadi impian kita untuk mampu berjalan di kawasan lapang tanpa kualti udara menjejaska­n kesihatan kita.

“Adalah menjadi impian kita juga untuk mengatasi apa juga pencemaran yang ada, sama ada pencemaran air, udara, alam sekitar atau karbon dioksida,” kata beliau.

Menteri Muda Sarawak (Pembanguna­n Usahawan Kecil dan Sederhana) Datuk Mohd Naroden Majais mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis makan malam itu.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia