Utusan Borneo (Sabah)

Turki ada lebih banyak bukti bagi pembunuhan Khashoggi: Hurriyet

-

ISTANBUL: Turki mempunyai lebih banyak bukti yang bercanggah dengan versi Arab Saudi bagi pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi termasuk rakaman audio ke-dua, sebuah akhbar di Turki melaporkan semalam.

Rakaman suara kedua –yang dikatakan sepanjang 15 minit – jelas mendedahka­n pembunuhan penulis kolum dalam akhbar Washington Post itu telah dirancang awal, kata akhbar Hurriyet.

Ia bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh pendakwa raya Arab Saudi yang kelmarin menyatakan lima pegawai Saudi berdepan dengan hukuman mati atas tuduhan membunuh Khashoggi tetapi melepaskan Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang berkuasa di negara itu daripada pembabitan dalam pembunuhan tersebut.

Khashoggi, 59, seorang pengkritik putera mahkota itu, dibunuh dan dikerat dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lepas.

Turki menyatakan pembunuhan itu dijalankan oleh sepasukan warga Arab Saudi yang pergi ke Istanbul bagi tujuan tersebut.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyatakan perintah itu datang dari “peringkat tertinggi” dalam kerajaan Riyadh, tetapi tidak pula menuding jari kepada putera mahkota.

Abdulkadir Selvi, penulis kolum prokerajaa­n dalam akhbar harian Hurriyet, berkata penemuan penting dalam kenyataan pendakwa raya Arab Saudi tidak bertindih dengan bukti dalam tangan Turki termasuk dua rakaman suara.

Beliau mendakwa rakaman suara pertama selama tujuh minit membuktika­n Khashoggi dicekik tetapi pita kedua yang direkodkan sejurus sebelum wartawan memasuki konsulat jelas menunjukka­n pembunuhan itu dirancang lebih awal.

Pita kedua membuktika­n “pasukan pembunuh” 15 anggota yang duduk di dalam konsulat sebelum ketibaan Khashoggi berbincang me-ngenai cara untuk melakukan pembunuhan itu, katanya.

Turki juga mempunyai bukti bahawa pasukan itu telah membuat panggilan antarabang­sa selepas pembunuhan, ujarnya.

Pendakwa raya Arab Saudi kelmarin mengumumka­n pendakwaan ke atas 11 orang dan berkata seramai 21 individu berada dalam tahanan berhubung pembunuhan itu.

Ia berkata hukuman mati akan disyorkan bagi lima daripada mereka yang “didakwa mengarahka­n dan melakukan jenayah itu”.

Bagaimanap­un Turki berkata kenyataan Arab Saudi “tidak memadai” dan Menteri Luar Mevlut Cavusoglu me-negaskan pembunuhan itu “dirancang awal”. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia