Utusan Borneo (Sabah)

NS utamakan anak tempatan dalam pemilihan ketua jurulatih dan pemain

-

SEREMBAN: Negeri Sembilan memberi keutamaan memilih ketua jurulatih dan pemain dalam kalangan anak tempatan untuk membentuk sebuah pasukan mantap pada saingan Liga Perdana musim depan.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Mohamad Taufek Abd Ghani berkata pendekatan ini diambil untuk memberi peluang kepada jurulatih dan pemain tempatan untuk mempamerka­n kemampuan masing-masing.

“Keutamaan kita kali ini ialah memilih ketua jurulatih dan pemain dalam kalangan anak Negeri Sembilan sendiri. Kita yakin ramai jurulatih dan pemain dalam kalangan anak tempatan yang mampu menggalas tugas tersebut.

Kita harap anak tempatan akan sentiasa memberi komitmen untuk kembali meletakkan skuad Hobin Jang Hobin di landasan yang terbaik dan dihormati dalam persada bola sepak negara,” katanya kepada Bernama di sini, pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Belia dan Sukan negeri berkata PBNS mempunyai senarai beberapa jurulatih dan pemain tempatan yang dikenal pasti untuk dipanggil menyertai skuad Negeri Sembilan musim depan.

“Ini termasuk pengendali MIFA, K. Devan. Kita harap dapat membentuk sebuah pasukan mantap dalam saingan Liga Perdana musim depan,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia