Utusan Borneo (Sabah)

Chong Wei kagum dengan Jin Wei

-

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mahu jaguh remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei lebih yakin dengan kemampuan diri untuk tampil lebih kompetitif di kejohanan peringkat senior tahun depan. Chong Wei turut mengingatk­an Jin Wei bahawa perjalanan pemain berusia 18 tahun masih jauh dan beliau mahu melihat prestasi Jin Wei semakin meningkat dan matang dalam kejohanan yang lebih tinggi akan datang.

Pemain senior itu turut memuji prestasi Jin Wei yang konsisten selepas memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina, bulan lepas.

“Memenangi pingat itu (juara dunia) adalah satu suntikan semangat untuk Jin Wei meraih lebih banyak kejayaan selepas ini. Kemenangan itu dapat menambahka­n keyakinan dia di gelanggang.

“Jin Wei juga perlu banyak lagi menimba pengalaman. Jurulatih Seu Bock (Datuk Tey Seu Bock) telah membimbing­nya dengan cemerlang dan sebagai pemain beliau tidak boleh sia-siakan pengalaman itu,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Jin Wei mengharumk­an nama Malaysia apabila meraih Kejuaraan Remaja Dunia BWF di Markham, Kanada. Pemain pilihan ketiga itu menampilka­n aksi bertenaga dengan menewaskan pilihan ke-13, Line Christophe­rsen dari Denmark menerusi kemenangan 21-13 dan 21-11.

Anak jati Pulau Pinang itu pernah menjuarai kejohanan sama pada 2015 setelah menewaskan rakan senegara, Lee Ying Ying pada aksi final di Peru. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia