Noryn Aziz dinobat juara GV5, Zamani di tempat ketiga
PENTAS akhir Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad lepas menobatkan Noryn Aziz sebagai juara selepas lapan minggu program realiti itu ke udara.
Dengan kemenangan itu, Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul Aziz membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM 100,000 dan beberapa hadiah sampingan lain.
Di tangga kedua adalah penyanyi Dia Fadila yang turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi Zamani yang membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 manakala tempat keempat pula milik penyanyi Amelina yang membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Maya dan Billy Zulkarnain yang berada di tangga kelima dan keenam masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan RM10,000.
Gelaran Bintang CUCKOO Paling Gempak sekali lagi dimenangi oleh Zamani untuk konsert akhir. Menurut hos Nabil Ahmad dan Jihan Muse pada malam itu, ini adalah kali ketiga Zamani memenangi gelaran berkenaan.
Persembahan terakhir bintang GV5 diadili oleh juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim sebagai juri tetap manakala Datuk DJ Dave dan Joe Flizzow sebagai juri jemputan.
Pada malam itu, bintangbintang GV5 memberikan persembahan yang cukup bertenaga dalam dua segmen berbeza iaitu tugasan duet dan juga ‘battle’ di mana mereka perlu menyanyi lagu rap.
Noryn Aziz berduet bersama Awi Rafael menyanyikan lagu ‘Laskar Cinta’ (Dewa 19), Amelina - ‘The Power of Love’ (Celine Dion) duet bersama Bob, Dia Fadila - ‘Makin Aku Cinta’ (Anang & Krisdayanti) duet bersama Ajai, Maya - ‘Nisan Cinta’ (Siti Nordiana & Jaclyn Victor) duet bersama Ernie Zakri, Zamani - ‘Lagu Jiwa Lagu Cinta’ (Mawi & Datuk M. Nasir) duet bersama Ameng manakala Billy Zulkarnain menyanyikan lagu ‘Curiga’ (Ning Baizura) duet bersama Idayu.
Dalam persembahan ‘battle’, Noryn Aziz telah memberikan persembahan yang cukup bertenaga bersama Dia Fadila sewaktu menyanyikan lagu ‘Where is The Love?’ nyanyian asal kumpulan The Black Eyed Peas.
Walaupun Amelina terlupa lirik sewaktu menyanyikan lagu ‘Teman Pengganti’ (Black & Malique) bersama Maya, namun persembahan mereka berdua turut mendapat pujian juri profesional yang ternyata kagum dengan persembahan rap mereka.
Sementara itu, Zamani yang pertama kali menyanyi rap menerusi lagu ‘Bunga’ (Altimet) bersama
Billy Zulkarnain turut memberikan persembahan yang sukar dilupakan oleh para peminatnya dan juga juri pada malam itu.