Pengurangan premium tanah bukan penentu harga rumah turun
KUANTAN: Pengurangan premium tanah bukan faktor yangmenentukanhargarumah boleh diturunkan secara signifikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda.
Beliau menambah terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam penentuan harga rumah dan premium tanah hanya sebahagian kecil dalam perkara tersebut.
“Berdasarkan kepada peredaran masa dan keadaan ekonomi, faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan harga rumah ialah kos bahan mentah yang meningkat, kos tenaga kerja dan pelbagai caj daripada agensi penyedia utiliti dan sebagainya.
“Sebagai contoh, membina rumah di pulau sudah pasti lebih besar belanjanya kerana bahan binaan perlu dibawa dari mainland (tanah besar) ke sana,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada Isnin.
Abd Rahim menjawab soalan Datuk Nor Azmi Mat Ludin (BN-Kuala Semantan) yang ingin tahu sebab harga rumah terus meningkat walaupun kerajaan negeri telah mengurangkan premium tanah daripada tanah pertanian kepada perumahan, dalam usaha membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Bagaimanapun, Abd Rahim menambah sebagai kerajaan negeri yang prihatin, pelbagai inisiatif dilakukan dalam membuka peluang kepada rakyat untuk membeli rumah pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada Projek Pembangunan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dan Projek Rumah Makmur, yang khusus untuk rakyat negeri ini.
“Ini memberikan lebih pilihan kepada rakyat selain menjadikan projek perumahan oleh pemaju swasta mempunyai persaingan sihat dan diharapkan akan membolehkan harga rumah di pasaran distabilkan dalam jangka masa yang panjang,” katanya. -Bernama