Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki bersenjata bunuh tiga di hospital Chicago

Tembakan meletus selepas pertengkar­an di tempat letak kereta, korban termasuk seorang anggota polis

-

CHICAGO: Satu pertengkar­an di tempat letak kereta sebuah hospital bertukar menjadi satu serangan tembakan yang mengorbank­an tiga orang, termasuk seorang anggota polis, di bandar raya Chicago, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Keganasan itu hanya berakhir apabila polis berbalas tembakan dengan lelaki bersenjata terbabit di dalam Hospital Mercy.

“Kita ada empat individu yang mati: anggota polis, dua kakitangan wanita di hospital, dan pesalah,” kata superinten­den polis Eddie Johnson kepada wartawan.

Penembak membunuh mangsa pertama – seorang wanita yang menjalin “hubungan domestik” bersamanya – sewaktu mereka bertengkar di tempat letak kereta, kemudian menembak polis apabila mereka sampai di hospital, dan lari ke dalam, kata Johnson.

Anggota polis tambahan – termasuk pegawai SWAT – tiba di tempat kejadian, dan “bersemuka dengan pesalah selama beberapa minit dalam hospital, dengan tembakan dilepaskan oleh pesalah dan polis”, katanya.

Dalam kejadian berbalas tembakan itu, lelaki bersenjata terbabit membunuh wanita kedua apabila wanita itu keluar dari lif, kata Johnson.

Penembak itu juga mati akibat luka yang dialaminya tetapi ia tidak jelas sama ada dia membunuh diri atau dibunuh oleh polis.

Datuk Bandar Rahm Emanuel mengenal pasti dua mangsa wanita itu sebagai seorang doktor dan seorang “pembantu farmasi”.

Pesakit menceritak­an bagaimana mereka rasa cemas apabila mendengar bunyi tembakan di luar Hospital Mercy dan melihat seorang lelaki yang dipercayai sedang berjalan dengan seorang wanita di tempat letak kereta sebelum dia menembak wanita itu tiga kali di bahagian dada.

“Apabila wanita itu jatuh ke tanah, dia berdiri di atasnya dan menembakny­a tiga kali lagi,” kata James Gray yang berada di tempat kejadian kepada pemberita, dan menambah serangan itu berlaku “seperti babak filem”.

Rakaman TV menunjukka­n kakitangan dan pesakit yang ketakutan keluar dari hospital dan berjalan ke tempat letak kereta sambil mengangkat tangan selepas anggota polis memenuhi kawasan kejadian.

Pesakit Hector Avitia memberitah­u sekutu televisyen tempatan CBS, dia bersama isterinya sedang menunggu keputusan ujian apabila dia melihat seorang lelaki bersenjata yang berpakaian serba hitam menembak seseorang di atas tanah beberapa kali di tempat letak kereta.

“Kemudian hampir sertamerta, seorang pegawai sudah pun tiba dengan menaiki SUV, dan penyerang berbalas tembakan dengan mereka dan kemudian mengisi peluru semula dan menembak orang di atas tanah sekali lagi,” kata seorang lagi saksi.

“Dan kemudian dia berjalan ke dalam hospital dan tembakan selanjutny­a dilepaskan.”

Serangan itu menyusuli siri serangan senjata api berprofil tinggi baru-baru ini yang telah meningkatk­an lagi seruan bagi pindaan kepada peraturan senjata api di negara yang dihantui keganasan senjata api.

Tidak sampai dua minggu sebelum itu, seorang lelaki bersenjata membunuh 12 orang dalam sebuah bar muzik di California yang penuh dengan pelajar kolej.

Ia berlaku selepas serangan anti-Semitik terburuk dalam sejarah moden AS apabila seorang lelaki bersenjata menembak penganut di sebuah saumaah di bandar raya Pittsburgh, AS pada 27 Oktober lepas.

Orang yang berada di tempat kejadian dan dimaklumka­n tentang insiden terbaharu menceritak­an bagai-mana mereka terdengar enam hingga sembilan tembakan yang pada mulanya berbunyi seperti bunyi pembinaan.

“Saya begitu takut sekali. Saya tidak pernah takut seperti ini, saya mendengar tentang tembakan yang berlaku setiap hari di tempat kerja orang, tetapi tidak di tempat saya bekerja,” kata seorang pekerja klinik keluarga di hospital berkenaan kepada sekutu ABC berkenaan.

Mercy, yang ditubuhkan pada 1852, mempunyai lokasi di seluruh Chicago dan menyediaka­n rawatan pesakit luar serta penjagaan pesakit dalam yang teruk, dan berbangga dengan doktor yang menjadi peneraju dalam bidang mereka.

Seorang lagi pekerja hospital yang dipetik oleh akhbar Chicago Tribune berkata dia berada di dalam pejabatnya apabila pemberitah­uan dibuat menerusi sistem siar raya kepada mereka yang berada di dalam hospital untuk mengunci pintu mereka.

“Saya tidak tahu apa yang telah berlaku,” kata pekerja itu kepada Tribune. “Mereka suruh kami lari, lalu kami lari.” — AFP

 ??  ??
 ??  ?? ORANG ramai dilihat di dalam pintu masuk utama Hospital Mercy di mana seorang lelaki bersenjata menembak beberapa orang di Chicago, Illinois kelmarin. — Gambar AFP
ORANG ramai dilihat di dalam pintu masuk utama Hospital Mercy di mana seorang lelaki bersenjata menembak beberapa orang di Chicago, Illinois kelmarin. — Gambar AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia