Utusan Borneo (Sabah)

Polis, tentera PNG serbu parlimen, tuntut bonus APEC tidak dibayar

-

PORT MORESBY: Anggota polis dan tentera Papua New Guinea (PNG) menyerbu parlimen negara semalam, memecah tingkap serta perabot dan menuntut bonus APEC yang tidak dibayar hanya beberapa hari sahaja selepas sidang kemuncak antarabang­sa itu tamat, kata polis dan saksi.

Negara Pasifik yang mundur itu memberi sambutan permaidani merah kepada pemimpin dunia yang menghadiri persidanga­n selama dua hari itu, malah membeli 40 kereta Maserati untuk mengangkut orang kenamaan.

“Sekumpulan anggota polis dan tentera berada di luar parlimen dan menuntut elaun APEC mereka,” kata jurucakap polis PNG Dominic Kakas kepada wartawan AFP.

Beliau berkata anggota polis lain “sedang menanganin­ya”.

Tidak ada orang yang dilaporkan tercedera, kata Kakas, yang menambah beliau belum lagi tahu jumlah anggota polis dan tentera yang terlibat dalam insiden itu di ibu negara Port Moresby.

Seorang saksi di luar parlimen memberitah­u AFP “ratusan anggota polis dan tentera” berdiri di tangga depan parlimen untuk memaklumka­n mereka belum dibayar elaun APEC khas sebanyak 350 kina (RM416).

“Senario di luar parlimen sangat tegang. Puluhan kereta polis dan kenderaan tentera berada di luar sana,” kata saksi itu, yang menambah sebuah hotel berdekatan ditutup dan penunjuk perasaan menyekat lalu lintas.

Rakaman yang disiarkan oleh Ahli Parlimen PNG Bryan Kramer dalam Facebook menunjukka­n tanaman pasu yang pecah, bingkai gambar yang dihentak di atas lantai dan serpihan kaca serta perabot dekat pintu masuk parlimen.

Segelintir penduduk tempatan di PNG, anggota APEC paling miskin, menyuaraka­n kemarahan dengan perbelanja­an mewah yang dikeluarka­n oleh kerajaan untuk sidang kemuncak itu, yang diadakan pada waktu negara membangun dengan lapan juta penduduk itu sedang berusaha untuk mengekang wabak polio dan kemunculan semula malaria, dan pada waktu yang sama berdepan dengan kesukaran untuk membayar gaji guru. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia