Terbesar dalam sejarah
KOTA KINABALU: Kejohanan Ping Pong Tunas Harapan Malaysia Milo Ke31 2018 adalah yang terbesar dalam sejarah penganjuran sukan itu di Sabah.
Presiden Persatuan Ping Pong Sabah (STTA) Edward Chua berkata, kejohanan itu disertai lebih 400 peserta daripada 16 pasukan dari seluruh Malaysia.
Kejohanan yang mempertandingkan kategori bawah 10 dan 13 tahun lelaki dan perempuan itu berlangsung di Dewan MAKSAK, Likas bermula pada Khamis hingga 2 Disember.
Chua berkata, kejayaan kejohanan itu adalah hasil kerjasama, sokongan dan komitmen Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah, Persatuan Ping Pong Malaysia, penaja dan semua peserta.
Beliau berharap, kejohanan itu bukan sahaja sukses dari segi penganjuran tetapi juga dalam melahirkan pemainpemain berpotensi yang bakal menjadi sandaran negara pada masa depan.
“Saya harap dengan semangat kesukanan, setiap kamu (pemain) dapat memberikan persembahan terbaik dan nikmati pertandingan ini.
“Sama ada menang atau kalah, bawalah kenangan yang indah dari kejohanan ini,” kata Chua semasa majlis perasmian kejohanan itu yang disempurnakan Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Poon di sini pada Rabu.
Turut bersama pada majlis itu adalah Naib Presiden Persatuan Ping Pong Malaysia Dr. Chin Kuen Liang dan Pengurus Wilayah Nestle Product Sdn Bhd Wallace Tan mewakili Milo selaku penaja utama kejohanan.
Frankie dalam ucapan perasmiannya mengalualukan penyertaan ramai atlet pada kejohanan itu.
“Ini adalah bukti komitmen yang ditunjukkan oleh STTA dalam pengelolaan kejohanan berprestij ini,” kata Frankie sambil mengucapkan syabas kepada pihak penganjur dan semua yang terlibat.
Katanya, penganjuran kejohanan itu memberi peluang kepada STTA memperlihatkan kemampuan dan kepakaran dalam mengelolakan kejohanan besar dan mencabar.