HARAM BALAK SECARA KEKAL
Pelan Gunatanah beri faedah kepada negeri dan rakyat tanpa jejaskan ekosistem hutan simpan
SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal berkata Kerajaan Negeri bercadang untuk menguatkuasakan pengharaman balak secara kekal sebagai langkah untuk memastikan sumber hutan atau industri hiliran berasas kayu tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan.
“Sebaik diberi mandat mentadbir negeri pada bulan Mei lepas, saya telah mengumumkan pengharaman eksport kayu balak. Tindakan ini adalah sebagai satu langkah untuk memastikan sumber hutan khususnya balak keluaran hutan asli diusahakan dalam negeri,” katanya.
Beliau berkata walaupun kerajaan mendapat faedah langsung dari segi kutipan hasil melalui pengeksportan kayu balak tetapi kerajaan lebih mementingkan penjanaan limpahan yang terhasil daripada hasil industri pemprosesan hiliran.
“Melalui pembangunan industri hiliran ini, saya yakin peluang-peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran kepada rakyat dapat diwujudkan,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran Dasar Hutan Sabah 2018 di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Batu 6 Jalan Utara, pagi Isnin.
Shafie bagaimanapun menjelaskan sebelum ketetapan diputuskan, beberapa perkara diberi pertimbangan seperti implikasi dari aspek perundangan, ekonomi, sosial dan sebagainya.
“Perkara ini penting untuk memberi keadilan kepada kerajaan, industri dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau memberitahu Kerajaan Negeri akan turut menghasilkan Pelan Gunatanah bagi memenuhi keperluan pembangunan dan konservasi.
“Pelan Gunatanah ini bertujuan merasionalisasikan penggunaan tanah kawasan hutan simpan untuk memberi faedah yang optima kepada negeri dan rakyat tanpa menjejaskan ekosistem dan jumlah keluasan Hutan Simpan dan ‘Totally Protected Areas (TPA),” jelasnya.
Beliau berkata keutamaan akan diberi kepada program pemulihan dan restorasi hutan serta menangani isu tanah dalam hutan simpan yang dihadapi oleh komuniti melalui ‘landswap’ dan sebagainya.
“Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Perhutanan Sabah bersama agensiagensi berkaitan seperti Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar akan menghasilkan Pelan Pengurusan Hutan menyeluruh untuk Negeri Sabah dalam masa terdekat ini,” katanya.
Shafie berkata insiatif itu difahamkan akan menggabungkan semua pelan pengurusan serta pelan konservasi hutan sedia ada bagi tujuan penyelarasan pengurusan dan perlindungan hutan bagi Negeri Sabah untuk tempoh 25 tahun.
Katanya Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif itu dan yakin ia dapat menyumbang kepada usaha rasionalisasi gunatanah kawasan berhutan demi kepentingan semua.
“Kita seharusnya bersyukur kerana lebih 60 peratus daripada keluasan Negeri Sabah masih lagi diliputi hutan yang mana, hutan memainkan peranan amat penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri sejak dahulu lagi.
“Hutan bukan sahaja membekalkankan kita sumber kayu-kayan bahkan merupakan aset penting kepada sektor pelancongan bagi menarik pelancong melawat Sabah. Habitat semulajadi sumber flora dan fauna, biodiversiti, menyimpan dan menghasilkan herba untuk tujuan rawatan dan perubatan serta ekosistem yang menjadi tonggak utama dalam menangani isu perubahan iklim,” katanya.
Beliau juga menjelaskan daripada jumlah keluasan hutanitu,52peratusterletak dalam hutan-hutan simpan dan kawasan perlindungan. Ia termasuk 48 peratus ataupun 3.54 juta hektar dalam Kawasan Hutan Simpan, 245,172 hektar kawasan Taman-Taman Sabah serta 29,000 hektar Sanktuari dan Kawasan Perlindungan Hidupan Liar.
Dalam pada itu, Shafie menegaskan Kerajaan Negeri akan meneruskan polisi untuk menyasarkan 30 peratus daripada keluasan Negeri Sabah sebagai kawasan TPA menjelang tahun 2025.
“Objektif utama sasaran ini adalah untuk perubatan serta ekosistem yang menjadi tonggak utama dalam menangani isu perubahan iklim.
“Sehubungan itu, kepentingan hutan sebagai sumber alam semulajadi yang berkekalan memerlukan pengurusan yang baik serta efisien agar keaslian hutan dan peranannya sebagai satu sumber pendapatan negeri dapat diseimbangkan dan berkekalan bersesuaian dengan kehendak semasa masyarakat dan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata satu dasar komprehensif amat diperlukan sebagai panduan untuk mengurus hutan secara holistik berdasarkan prinsipprinsip Pengurusan Hutan Mampan.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Datuk Frankie Poon Ming Fun, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Arifin Asgali, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarnsin Taib, Adun Elopura Calvin Chong, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Hajah Zaleha Rose Haji Pandin, Ketua Konservator Hutan Datuk Mashor Mohd Jaini, Setiausaha Hasil Bumi Datuk Mohd Salleh Haji Abbas, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Peter Hii Chang Lik dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Haji Mohd Zakaria.