E-Sport bukan lagi aktiviti sia-sia
E-SPORT bukan lagi aktiviti yang membuang masa atau sia-sia malah telah menjadi industri yang mampu menjadi kerjaya kepada anak-anak muda.
Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien berkata, E-Sport terbukti menjanjikan pulangan lumayan apabila negara-negara luar yang menganjurkan pertandingan itu menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang.
“Ia bukan sekadar kepada pemain tetapi juga kerja belakang tabir dalam menjayakan sesebuah kejohanan seperti pengaturcara komputer, pembangun dan sebagainya.
“E-Sport juga mendapat tempat dalam Sukan SEA 2019 Filipina dan saya berharap Labuan dapat melahirkan pemain-pemain profesional dalam E-Sport di masa akan datang,” katanya semasa merasmikan Bengkel Pengenalan dan Pertandingan E-Sport Peringkat WP Labuan di Kompleks Ujana Kewangan, pagi Isnin.
Beliau berkata program itu diharap dapat membuka mata semua pihak untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan E-Sport demi pembangunan sukan, melahirkan atlet, fasiliti dan teknologi industri yang lebih mantap.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Labuan Yahya Saleha.
Sementara itu, tiga kategori pertandingan iaitu Pro Evolution Soccer (PES) 2018, Dota 2 dan PUBG mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar E-Sport.
Pertandingan PES 2018 telah dimenangi oleh Azman Abdul Rasak, Dota 2 dijuarai oleh pasukan DCZ manakala pasukan EZ Gatka menjuarai kategori PUBG.