Mini Fun Fiesta Vol.3: Riadah dan berinformasi
TAWAU: Setelah menganjurkan Mini Fun Fiesta Vol.2, kini Vol.3 dengan kerjasama Borneo Betta Head Hunters telah menjadikan pengisian riadah dan berinformasi sebagai tarikan baharu bagi pengunjung.
Melalui Vol.3 pada kali ini, Damai Canopy Events and Management memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri pengisian yang berilmiah dengan pameran pendidikan oleh Open University Malaysia (OUM) Kampus Tawau, acara selingan seperti Pertandingan Kuiz Kanak-Kanak, Pertandingan Bercerita ‘Ibu Bapaku Wira Ku’ dan Pertandingan Pantun Kecil.
Ia kerana, kesedaran dalam penganjuran program, pihak penganjur peka terhadap kepentingan untuk menyuntik semangat cintakan pendidikan dan pendedahan yang berterusan kepada ibu bapa dan pelajar sekolah.
Selain itu, jualan pelbagai produk makanan, pakaian, aksesori lelaki dan wanita menambah kerancakan pada program kali ini. Sambutan yang meriah dapat dirasakan apabila pengunjung tapak aktiviti mula hadir seawal jam 8 pagi bagi menikmati penjualan pelbagai produk yang disediakan pada harga yang berpatutan.
Sebagai ‘trademark’ program, turut diadakan aktiviti pameran daripada kelab-kelab hobi kreatif sekitar daerah Tawau iaitu Borneo Betta Head Hunters yang mempamerkan breeder tempatan jenis ‘Crowntail’, yang telah mendapat tempat ketiga (Kategori C2 - Dark Iridescent) pada International Betta Convention (IBC) Nusatic 2018 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Pameran lain yang berjaya menyumbang kepada peningkatan kadar pengunjung adalah dari Tawau Lago-Lago Collectors yang memaparkan pameran figura aksi dari watak-watak Marvel dan DC Comics seperti Batman dan Superman.
Turut dimuatkan adalah aktiviti pameran daripada Adam’s Hotwheels Garage dan Mira’s Cat House yang memberi pengkhususan kepada program pemuliharaan kucing jalanan dan informasi tentang penjagaan kucing.
Kemuncak program adalah pertandingan ‘Battle of the Bands’ dengan persembahan kumpulan kugiran yang menyaksikan penyertaan terbanyak pada edisi kali ini.
Penganjuran program riadah berinformasi sedemikian diharap sedikit sebanyak akan menjadi gelombang perubahan pengisian agar lebih bersifat interaktif dan progresif pada masa mendatang.
Pengisian yang baik akan sentiasa memberi manfaat kepada para pengunjung di samping menjadi kekuatan dalam penganjuran sesebuah organisasi.