EMPAT NELAYAN DICULIK?

Dipercayai ada kaitan serangan empat lelaki bersenjata ke atas kapal tunda Magtrans II

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh VIVI OLVIANA NAJURUS

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan empat nelayan, termasuk seorang tekong, hilang berhampiran kapal tunda Magtrans II yang diserang empat lelaki lengkap bersenjata di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kejadian dikesan selepas pasukan keselamatan menemukan sebuah bot nelayan dengan keadaan bot yang masih hidup berhampiran kapal terbabit.

“Sebaik serangan tembakan berlaku, anggota keselamatan segera melakukan siasatan di lokasi sebelum menemukan sebuah bot nelayan dalam keadaan enjin masih hidup berdekatan kapal tunda dinaiki 13 kru itu.

“Tiada individu di atas bot terbabit dan pada masa sama kita menerima laporan daripada pemilik syarikat bot nelayan yang memaklumkan tekong serta tiga nelayan dikhuatiri hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Jumaat.

Omar berkata siasatan terperinci masih dijalankan bagi memastikan sama ada empat nelayan hilang ini dilarikan penjenayah yang menembak kapal tunda Magtrans II atau sebaliknya.

“Kita masih menjalankan siasatan semampunya kerana kita tidak tahu bot nelayan terbabit diserang terlebih dahulu atau selepas berlakunya insiden tembak di kapal tunda berkenaan.

“Saya tidak dapat memberikan kenyataan lanjut dan boleh mengesahkan mereka diculik kumpulan penjenayah terlebih dahulu melainkan kita sendri atau pemilik bot mendapat sebarang panggilan daripada suspek untuk permintaan wang tebusan atau sebagainya berikutan belum ada panggilan diterima setakat ini,” katanya.

Menurutnya, empat yang hilang masing-masing adalah dua warga tempatan dan dua lagi warga asing berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Dalam pada itu, Omar berkata pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti keempat-empat suspek yang melakukan serangan tembakan terhadap kapal tunda berkenaan.

“Kita masih menjalankan siasatan termasuk risikan dalaman dan bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran.

“Tidak banyak maklumat yang boleh dikatakan di sini berikutan kejadian Rabu lalu berlaku di kawasan gelap menyebabkan mangsa tidak dapat memastikan arah suspek datang sama ada dari darat atau sempadan negara jiran,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kapal tunda dalam pelayaran dari Bintulu, Sarawak menuju Papua New Guinea bagi mengambil kayu balak, diserang empat lelaki yang melepaskan dua tembakan rambang di atas kapal berkenaan.

Kejadian menyebabkan tekong dikenali Didy Saviady, 40, cedera di paha sebelah kiri akibat terkena tembakan. Bagaimanapun, mangsa kini stabil dan menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Empat suspek lengkap bersenjata panjang, dipercayai jenis rifle M16 itu melarikan kemudian diri dari lokasi kejadian sebaik mangsa melepaskan 10 das tembakan ‘Parasut Signal’ ke arah suspek.

JABATAN KETUA MENTERI Gambar

PESTA KUBIS: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal melancarkan Pesta Kubis di Kundasang pada Jumaat. Pelbagai acara dan pameran diadakan sempena pesta itu. Kelihatan Shafie melihat produk yang dipamerkan sempena pesta berkenaan. -

OMAR menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota polis cemerlang semasa Perhimpunan Bulanan IPK Sabah pada Jumaat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.