Kerajaan dalam kajian gubal Akta Keharmonian Sosial

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

KUALA LUMPUR: Akta Keharmonian Sosial akan digubal selepas kajian teliti mengenai keperluannya selesai dilaksanakan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Beliau berkata akta yang bertujuan memupuk perpaduan dan keharmonian kaum itu yang kini di peringkat perbincangan dengan kementerian bukan bertujuan menghukum orang ramai, sebaliknya memberi peringatan kepada masyarakat supaya tidak menimbulkan isu-isu sensitif yang akan menggugat hubungan antara kaum.

“Banyak peruntukan dalam akta ini yang kita perlu lihat dengan teliti sebelum ia boleh digunapakai. Ia (akta) bukan benda yang punitif tetapi untuk mengingatkan masyarakat bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan dan perlakuan.

“Kita boleh didik masyarakat untuk tidak timbulkan isu-isu yang boleh timbulkan ketegangan kaum, tetapi pada akhirnya mereka sendiri perlu sedar akan tanggungjawab masingmasing sebagai rakyat di negara ini. Pasti akan ada segelintir daripada mereka yang gemar cetuskan isu-isu sensitif melibatkan kaum lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Program Suara Harapan: Perpaduan Mensejahtera Negara terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama, di sini, pada Jumaat.

Dr Md Farid berkata berikutan wujud segelintir masyarakat yang masih cenderung menimbulkan ketegangan antara kaum menerusi pelbagai medium terutama media sosial maka akta sedemikian perlu diwujudkan bagi mengekang perkara itu.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.