UMS tubuh Institut Confucius

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh

KOTA KINABALU: Institut Confusius (CI) akan beroperasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula pada awal tahun 2019.

Menurut kenyataan Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS, penubuhan institut itu diluluskan pada bulan lalu oleh Hanban, iaitu agensi kerajaan China yang mengurus selia CI.

“Perbincangan lanjut bersama Hanban telah diadakan oleh delegasi UMS yang diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah Datuk K Y Mustafa pada persidangan Institut Confucius ke-13 bertempat di Chengdu, China pada Selasa dan Rabu (4-5 Disember) lalu.

“Melalui perbincangan pada persidangan yang dihadiri lebih 2,000 delegasi dari seluruh dunia, pelaksanaan dan perasmian institut ini di UMS dijadualkan pada awal tahun depan,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan PPSKK di sini pada Sabtu.

Kenyataan itu memaklumkan, penubuhanitusekaligusmenjadikan UMS sebagai institut pengajian tinggi yang ketiga dan universiti awam yang kedua di Malaysia yang mempunyai CI.

Katanya, UMS juga menjadi antara sekitar 510 institusi yang mempunyai Institut Confucius di 127 buah negara.

“Peranan utama institut ini adalah menyumbang kepada pembelajaran Bahasa Mandarin dan pertukaran kebudayaan dengan negara China.

Dalam konteks UMS, institut ini boleh memberi manfaat kepada pelajar UMS dan masyarakat setempat di Sabah.

“Sebahagian dari kos operasi institut ini akan ditanggung oleh pihak Hanban. UMS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pelbagai pihak di Malaysia mahupun di China atas sokongan dan sumbangan yang diberikan yang akhirnya membawa kepada kejayaan usaha untuk mewujudkan Institut Confucius di UMS,” katanya.

Untuk rekod, dua lagi institusi pengajian tinggi di Malaysia yang mempunyai CI ialah Universiti Malaya dan Segi University.

YAP SIONG HAN

DELEGASI UMS yang diketuai Mustafa (kanan, tiga dari depan) sedang mengadakan perbincangan dengan Hanban. Turut kelihatan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr D Kamarudin D Mudin (kanan empat dari depan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.