IEC Afghanistan tolak keputusan pemantau isytihar semua undi parlimen Kabul tidak sah

Utusan Borneo (Sabah) - - Global -

KABUL: Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya Afghanistan (IEC) menolak keputusan pemantau pengundian negara itu yang mengisytiharkan semua undi ketika pilihan raya parlimen Kabul sebagai tidak sah, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan.

“IEC mengumumkan bahawa keputusan Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya (ECC) bagi membatalkan pengundian di Kabul sebagai bersifat politik, terburu-buru dan tidak sah,” lapor Tolo News TV.

Pada Khamis, pegawai ECC mengisytiharkan undian di kawasan parlimen Kabul yang meliputi kawasan ibu negara dan daerah sekitarnya sebagai tidak sah, merujuk kepada dakwaan wujud penipuan, pemalsuan undi serta pencabulan undang-undang pilihan raya.

Sebanyak 2,767 aduan diterima di Kabul selepas pengundian itu. Pilihan raya Wolesi Jirga atau Dewan Rakyat Afghanistan yang tertangguh sejak sekian lama, diadakan pada 20 Oktober lalu, dengan lebih 2,500 calon bertanding bagi merebut 249 kerusi.

Hampir 800 calon bertanding untuk 33 kerusi yang diperuntukkan untuk kawasan Kabul.

IEC sudah pun mengumumkan keputusan awal bagi kebanyakan kawasan pilihan raya kecuali untuk Kabul berikutan pelbagai aduan penipuan dan salah laku.

Bagaimanapun, laporan media tempatan menyatakan, IEC akan mengumumkan keputusan awal pengundian bagi kawasan Kabul tidak lama lagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.