Utusan Borneo (Sabah)

Insiden letupan, polis masih tunggu laporan bomba

-

KUCHING: Polis Sarawak masih mengklasif­ikasikan kes kematian tiga orang dalam insiden letupan di CityONE Megamall sebagai mati mengejut sehingga laporan siasatan bomba selesai dilakukan.

Timbalan Pesuruhjay­a Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya masih menunggu kertas siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

“JBPM masih lagi melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca letupan.

“Di pihak polis pula, kita mengklasif­ikasikan tiga mangsa yang terkorban dalam insiden sebagai kes mati mengejut,” ujarnya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penutupan Seminar dan Latihan Ancaman Keganasan ExRampas Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuching (LTAK) 2008 di sini, pada Jumaat.

Menurut Mohd Dzuraidi, angka korban dan kecederaan masih kekal seperti yang dilaporkan sebelum ini iaitu tiga kematian dan 41 cedera.

Sebelum ini dalam laporan akhbar, Pengarah Urusan NeNe Chicken Malaysia (NeNe Chicken) Raymond Wong menggesa pihak berkuasa mempercepa­tkan siasatan berhubung insiden tersebut.

Beliau juga mahu hasil laporan berkenaan diumumkan secepat mungkin.

Dalam insiden di CityONE sekitar jam 3.30 petang Selasa lalu, tiga maut manakala 41 cedera dalam letupan yang dipercayai akibat kebocoran gas.

Tiga mangsa yang terkorban ialah O Kui Lim, 49, dan Tchee Kiam Jong, 24, masing-masing dari Kuching serta seorang lelaki dari Pulau Pinang, Chin Hsien Loong, 29.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia