Warga emas maut, dipercayai terjatuh dari jambatan

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Seorang lelaki warga emas ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari jambatan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No.6 di Jalan Datuk Temenggong Tan Meng Chong di sini, pada Jumaat.

Menurut sumber, saksi di tempat kejadian terdahulu melihat mangsa yang dikenali sebagai Sim, 66, duduk bersendirian di tepi keretanya di atas jambatan tersebut sekitar jam 12 tengah malam.

Difahamkan, saksi terbabit kemudian menghampiri mangsa untuk bertanyakan keadaannya.

“Apabila ditanya tujuannya berada di atas jambatan tersebut, mangsa memberitahu dia ingin memancing ikan, tetapi apabila ditanya di mana perkakas memancingnya, dia terus membisu.

“Mangsa kemudian dilihat masuk ke dalam keretanya sebelum dilihat keluar semula dan terus hilang (dipercayai terjatuh),” kata sumber.

Saksi tersebut kemudian menghubungi pihak polis dan bomba untuk bantuan.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Selepas setengah jam operasi SAR dijalankan, mangsa berjaya ditemui di sungai tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri,” kata sumber.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, mangsa kemudian dibawa ke darat dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang buruh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Stutong Baru di sini mengalami kecederaan parah selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga bangunan yang masih dalam pembinaan sekitar jam 11 malam kelmarin.

Sumber memberitahu, mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia sekitar 20-an sebelum kejadian bersama beberapa rakannya berehat di aras satu bangunan yang sama.

“Bagaimanapun, mangsa selepas itu dikatakan pergi ke tingkat tiga bangunan berkenaan sebelum dipercayai terjatuh,” kata sumber.

Rakan-rakan mangsa kemudian segera mengejarkan mangsa ke HUS untuk mendapatkan rawatan.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS.

MANGSA disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik HUS di tempat kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.