Matrade gesa usahawan belia manfaatkan peluang dalam perdagangan antarabangsa

Utusan Borneo (Sabah) - - Iklaneka -

KUALA LUMPUR: Golongan belia Malaysia perlu mengikuti perkembangan terkini dalam eksport dan menjadikan perdagangan antarabangsa sebagai agenda utama mereka berikutan banyak usahawan yang berjaya masih menumpukan kepada perniagaan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Dr Mohd Shahreen Zainoreen Madros berkata sebagai organisasi promosi perdagangan negara, ia akan memudahkan mereka untuk pergi ke peringkat global melalui program promosi eksport dan pembangunan pengeksportnya.

“Dengan platform digital, perniagaan milik golongan belia boleh menikmati akses pasaran yang lebih besar dan mengembangkan operasi mereka ke luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam usaha ke arah meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai perdagangan antarabangsa, MATRADE semalam menganjurkan Hari Eksport Belia 2018, yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Acara utama ialah segmen ‘University Product Invention’, yang mempamerkan penyelidikan dan inovasi terkini oleh pelajar-pelajar universiti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.