Tiga subsidiari Scomi Group mohon pengurusan kehakiman
KUALA LUMPUR: Tiga anak syarikat Scomi Group Bhd telah memohon pengurusan kehakimandaripadaMahkamah Tinggi Shah Alam yang menjadi sebahagian daripada langkah penyusunan semula kewangannya.
Syarikat terbabit adalah Scomi Engineering Bhd, Scomi Rail Bhd dan Scomi Transit Project Brazil (Sao Paulo) Sdn Bhd dan langkah penyusunan semula itu bertujuan memperkukuh kedudukan syarikat berkenaan.
“Pengurusan kehakiman itu merupakan mekanisme penyelamat korporat mengikut Akta Syarikat 2016 yang memberi kerangka rehabilitatif untuk syarikat-syarikat yang mengalami kemelut kewangan, dipulihkan semula.
“Ia akan memberi perlindungan sementara kepada syarikat itu daripada sebarang prosiding undang-undang (difailkan) oleh pihak ketiga ketika ia sedang menjalani usaha rehabilitatif tersebut,” katanya.
Scomi mencatatkan kerugian bersih RM27.91 juta bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Sept, 2018 manakala kerugian bersihnya setakat tahun ini mencecah RM53.52 juta.
“Permohonan pengurusan kehakiman oleh tiga syarikat itu telah dibuat demi pihak berkepentingannya dengan matlamat untuk menyelamatkan syarikat itu.
“Kumpulan ini percaya langkah itu akan membolehkan usaha rehabilitatif dipertimbang dengan matlamat untuk memperkukuh keupayaan syarikat tersebut di bawah pengurusan kehakiman bagi menyelesaikan semua proses semasa serta melaksanakan komitmen berkontrak kepada para pelanggan,” katanya.Bernama