Anak syarikat Insas jual tanah dengan harga RM14.87 juta

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh tidak langsung Insas Bhd, Filmont Holdings Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli bersama Satin Magic Sdn Bhd untuk menjual 0.22 hektar tanah kediaman pegangan bebas di Bukit Damansara dengan harga RM14.87 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin, Insas berkata pertimbangan jualan itu dicapai berasaskan kerelaan pembeli dan penjual menerusi rundingan terus kedua-dua pihak selepas mengambil kira nilai pasaran tanah bernilai RM14.3 juta.

“Penjualan itu adalah sebahagian aktiviti rasionalisasi aset kumpulan untuk memanfaatkan dan merealisasikan peningkatan nilai aset bertanahnya,” katanya sambil menambah pertimbangan jualan RM14.87 juta itu merupakan kenaikan nilai melebihi 180 peratus sejak tanah itu dibeli pada 2004.

“Penjualan itu juga akan membolehkan Filmont menyertai projek pembangunan hartanah berdaya maju di Bukit Damansara, Kuala Lumpur memandangkan ia memilik 13 peratus kepentingan ekuiti dalam Satin Magic,” kata syarikat itu.

Insas berkata penjualan tersebut dijangka memberikan keuntungan kecil sebanyak RM0.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2019, selepas disesuaikan dengan perbelanjaan dan cukai berkaitan.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.