Beyonce & Jay-Z pukau Afrika Selatan di konsert ‘tribute’ untuk Mandela

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh Michelle Gumede

PENYANYI sensasi Beyonce baru-baru ini mengetuai barisan bintang termasuk Ed Sheeran, Jay-Z dan Usher di Johannesburg dalam satu konsert untuk memberi penghormatan kepada kehidupan dan legasi Nelson Mandela.

Konsert itu merupakan kemuncak pada tahun penuh acara yang meraikan ulang tahun ke-100 kelahiran Mandela pada 1918, dan sebahagian daripada kempen untuk menangani kemiskinan, malnutrisi kanak-kanak dan merangsang kesamarataan jantina.

Festival Global Citizen pada tahun ini diadakan di stadium FNB dengan kapasiti 94,736 tempat duduk di Johannesburg dan menyaksikan Beyonce mempersembahkan beberapa lagu hitnya selain satu lagu duet bersama Sheeran.

Ribuan peminat muzik, keban- yakannya menerima tiket percuma untuk menghargai usaha mereka sebagai aktivis dan kerja kempen mereka, membanjiri stadium beberapa jam sebelum konsert bermula. “Saya bangga menjadi sebahagian daripada pergerakan warga global kerana mereka cuba memberi impak positif dalam kehidupan manusia - terutamanya isu-isu wanita dan kanakkanak,” kata Nokthula Khuzwayo, 23, dari Soweto.

“Saya amat menyukai persembahan Dhanj dan sudah tentulah Queen B dan Jay-Z, walaupun ia hanya singkat sahaja.”

Selain bintang-bintang global termasuk Pharrell Williams dan Chris Martin dari kumpulan Coldplay, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa turut meraikan ketua negara lain dari Ghana, Rwanda dan Sierra Leone.

“Kami di sini untuk bertindak dalam satu suara,” kata Ramaphosa.

Persembahan Beyonce bagi lagu hitnya ‘XO’, di mana dia memakai gaun merah jambu yang labuh dan memberi penghormatan kepada Mandela, menyebabkan penonton begitu emosional sekali.

Dua bintang dari Afrika Selatan, Trevor Noah, yang menjadi hos, dan Bonang Matheba turut membuat penampilan, ketika penonton yang umumnya orang tempatan menempuh hujan lebat untuk menyaksikan acara itu. Sebelum konsert diadakan, hos bersama Oprah Winfrey memuji “kebaikan dan integriti” Mandela, dan menggambarkannya sebagai “mentor kegemaran saya”.

Mandela dipenjara selama berdekad-dekad di bawah rejim aparteid di Afrika Selatan. Selepas dibebaskan pada 1990, beliau memimpin transformasi negara kepada demokrasi pelbagai kaum dan dipilih untuk menjadi presidennya yang pertama. Beliau meninggal dunia pada 5 Disember 2013 di usia 95 tahun.

Terdahulu sebelum itu, balu Mandela, Graca Machel, yang memakai gaun kuning dan biru yang terang, menaiki pentas untuk memberi penghormatan kepada mendiang suaminya di hadapan penonton yang memenuhi stadium.

Cucu lelaki Mandela, Ndaba Mandela, memberitahu hadirin: “Hari ini ia adalah satu keistiwaan dan pilihan bagi kita untuk mengambil tindakan bagi pihak ratusan juta orang yang terperangkap dalam kitaran kemiskinan.

“Maka itu saya merayu kepada anda, jangan memikirkan ini sebagai sekadar festival muzik, ini adalah seruan kepada hati dan minda kemanusiaan di seluruh dunia.”

Inisiatif Global Citizen bertujuan untuk membantu membasmi kemiskinan tegar menjelang 2030 dan sudah mengadakan acara di bandar raya dunia lain termasuk London, Brussels dan New York.

Menurut pengasas inisiatif itu, Hugh Evans, lebih AS$2 bilion sudah dijanjikan untuk kempen yang baik ekoran konsert di AS$1 bilion.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau tweet sebelum acara berlangsung untuk menjanjikan AS$50 juta kepada projek pendidikan wanita dan gadis.

Penganjur acara terdahulu memberi penghormatan kepada seorang ‘rigger’ yang maut apabila dia terjatuh ketika membantu untuk menyediakan pentas.

“Keadaan di sekitar insiden itu sedang disiasat,” Global Citizen menyebut dalam satu kenyataan. — AFP

COLDPLAY

GAMBAR fail yang diambil pada 4 November 2016 ini menunjukkan Beyonce (kiri) dan Jay-Z membuat persembahan semasa Get Out the Vote (GOTV) sebagai tanda sokongan calon presiden Democratic Hillary Clinton di Wolstein Center di Cleveland, Ohio. Beyonce baru-baru ini mengetuai barisan bintang termasuk Ed Sheeran, Jay-Z dan Usher di Johannesburg dalam satu konsert untuk memberi penghormatan kepada kehidupan dan legasi Nelson Mandela. — Gambar AFP

PERSONALITI TV AS Oprah Winfrey dan Graca Machel (kanan), balu bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, bergambar bersama di acara permaidani merah ketika tiba di acara bagi menandakan 100 tahun sejak kelahiran Nelson Mandela, di Johannesburg pada 29 November 2018 lepas. Oprah Winfrey memberi ucap tama di acara berkenaan. — Gambar AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.