Utusan Borneo (Sabah)

KKMM jamin terus beri sokongan kepada industri seni negara: Gobind

-

KEMENTERIA­N Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan akan memberi sokongan kepada penggiat industri seni negara, kata menterinya, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata ini bagi memastikan mutu industri seni negara terus meningkat bukan hanya di peringkat tempatan malah antarabang­sa.

Menurutnya, sejak memegang jawatan menteri selama tujuh bulan, beliau telah bertemu dengan pelbagai pihak termasuk penggiat seni serta mengumpul maklumat dan menyelami kehendak dan masalah yang mereka hadapi.

Justeru, katanya, sudah tiba masa untuk kementeria­nnya mengambil tahu permasalah­an yang berlaku dalam industri seni serta mencari penyelesai­an demi kebaikan bersama.

“Kerajaan memberi jaminan akan menyokong industri ini sejauh mana yang kita mampu,” katanya semasa berucap merasmikan Anugerah Persatuan Artis-Artis Rakaman India Malaysia 2018 (MINDRAA 2018) di sini, baru-baru ini.

Gobind berkata penggiat industri seni di negara ini perlu memanfaatk­an kepelbagai­an masyarakat di negara ini dalam karya mereka.

Katanya, ia adalah satu daripada instrumen untuk menyatupad­ukan rakyat negara ini melalui seni.

Beliau juga mengambil maklum pandangan penggiat seni agar lebih banyak program anugerah menghargai bakat seni negara diadakan.

“Kita memerlukan lebih banyak program seperti ini. Tiada guna ada bakat tapi tiada pentas untuk menonjolka­n bakat mereka,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ansarullah Abdul Jeelanie memenangi Anugerah Vokalis Lelaki Terbaik manakala K. Anjali merangkul Anugerah Vokalis Wanita Terbaik.

Dalam pada itu, komposer dan pemuzik veteran, RPS Rajoo diberikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia