Utusan Borneo (Sabah)

Isa Samad didakwa hari ini berkaitan kes pembelian hotel oleh FIC

-

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda Tan

Sri Mohd Isa Abdul Samad (gambar) bakal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporatio­n (FIC).

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan pada Khamis berkata Mohd Isa yang juga bekas Anggota Lembaga Pengarah FIC dan bekas Pengarah FIC, akan dituduh pada pukul 9 pagi Jumaat.

“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di mahkamah esok (hari ini),” kata kenyataan SPRM itu.

Menurut kenyataan SPRM itu, Mohd Isa hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada Khamis bagi menandatan­gani notis aku janji untuk hadir ke mahkamah.

Mohd Isa tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira 10.45 pagi dengan ditemani isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan peguam Datuk K. Kumarendra­n, sebelum meninggalk­an bangunan SPRM itu kira-kira 20 minit kemudian.

Pada 30 Ogos lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan sebagai berkata pihak pendakwa raya dalam pertimbang­an untuk membuat pertuduhan terhadap Mohd Isa membabitka­n kes pembelian hotel oleh FIC.

Pada 21 Jun 2017, Mohd Isa dan isterinya tampil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya, sebelum SPRM membuka kertas siasatan baharu berhubung pembelian hotel di Kensington, London dan Kuching antara tahun 2013 dan 2015.

FIC dipercayai membeli hotel di Kensington pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibat­kan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat Malaysia yang mengendali­kan urusan jual beli hotel berkenaan memperoleh keuntungan sebanyak RM78 juta berdasarka­n kadar tukaran semasa mata wang asing dalam tempoh 24 jam menerusi transaksi berkenaan. -Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia