Utusan Borneo (Sabah)

Keadaan Muhammad Adib masih kritikal walaupun stabil

-

SHAH ALAM: Keadaan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah akibat diserang dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas masih kritikal walaupun stabil.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, ini kerana masih ada mesin-mesin tertentu sedang diguna pakai ke atas anggota berkenaan bertujuan menstabilk­an organ dalam badannya.

“Walaupun kita panggil Muhammad Adib stabil tapi beliau masih kritikal. Difahamkan, ia (rawatan pakar dan penggunaan mesin) akan mengambil tempoh masa tertentu.

“Sehingga kini, beliau masih tidak boleh dilawat cuma mungkin satu atau dua hari ini, doktor pakar akan membuat rumusan mengenainy­a (penerimaan pelawat). Semangatny­a kuat dan kita harap akan dapat petanda positif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatan­gani Memorandum Persefaham­an (MoU) antara JBPM dan Universiti Teknologi Mara di sini, pada Khamis.

Beliau berkata perkembang­an terkini Muhammad Adib yang sudah boleh menulis untuk berkomunik­asi merupakan isyarat positif mengenai peningkata­n kesihatann­ya dan diharapkan anggota berkenaan juga akan mampu menceritak­an keadaan sebenar yang menimpanya semasa insiden itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kesiapsiag­aan JBPM menghadapi musim banjir, Muhammad Hamdan berkata semua pusat gerakan operasi jabatan itu di seluruh negara dikoordina­sikan dengan ibu pejabat supaya laporan mengenai situasi semasa kawasan masing-masing sentiasa diterima untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, selain persediaan logistik bagi membantu masyarakat menghadapi bencana tersebut, cuti tahunan ke atas 10,000 anggota JBPM di seluruh negara juga dibekukan sejak bulan lepas.

“Disebabkan banjir merupakan kejadian tahunan, kita gunakan Arahan Majlis Keselamata­n Negara 20 (MKN20) sebagai mekanisme untuk mengatur gerak kerja dengan bantuan daripada agensi lain bagi menghadapi bencana tersebut kali ini.

“Mulai sekarang hingga Februari depan, kita nasihatkan orang ramai tidak pergi ke tempat-tempat rekreasi berisiko tinggi seperti memanjat gunung, mandi-manda di air terjun, berada di pesisir pantai atau sungai mahupun tali air bagi mengelakka­n kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, ditanya mengenai sebarang penambahba­ikan ke atas jabatan itu tahun depan, Muhammad Hamdan berkata antara aspek yang akan diberi keutamaan adalah pembanguna­n modal insan secara intensif iaitu melibatkan pelbagai bentuk latihan, pembelajar­an serta proses mendekati komuniti.

Selain itu katanya, prosedur operasi standard (SOP) JBPM juga akan dikaji dari semasa ke semasa sebagai persediaan untuk menghadapi corak insiden masa kini yang dilihat banyak berubah berbanding zaman dahulu.

“Kerjasama erat dengan pelbagai agensi lain juga akan dipertingk­atkan pada masa hadapan supaya aspek pengurusan bencana dapat diatur dengan baik demi memastikan keselamata­n rakyat sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia