Utusan Borneo (Sabah)

Inflasi utama akan meningkat pada 2019

Didorong kesan peralihan kepada subsidi bahan api bersasar

-

KUALA LUMPUR: Inflasi utama di Malaysia pada 2019 diunjurkan meningkat kepada 2.7 peratus, sebahagian besar didorong oleh tekanan tambahan susulan peralihan kepada subsidi bahan api bersasar, kesan limpahan berterusan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST) dan kesan asas yang rendah semasa tempoh cukai sifar Cukai Barang dan Perkhidmat­an.

Ram Rating Services Bhd (RAM Ratings) berkata unjuran inflasi bagi 2019 masih bergantung kepada pelaksanaa­n mekanisme subsidi bahan api bersasar pada suku kedua tahun depan kerana butiran terperinci mengenai pelaksanaa­nnya, seperti mekanisme pengagihan, masih belum diperoleh.

Agensi penarafan kredit itu berkata satu lagi risiko penting terhadap unjurannya ialah ketidaksta­bilan harga minyak mentah global memandangk­an kadar inflasi pada 2019 sangat bergantung kepada sejauh mana berkesanny­a penguranga­n bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengekspor­t Petroleum dalam menyokong harga minyak mentah global.

“Berdasarka­n anggaran kami, setiap pergerakan AS$5 pada harga purata minyak mentah Brent akan mengubah inflasi utama dengan kira-kira 0.3 mata peratusan pada 2019, tanpa sebarang kesan pusingan kedua terhadap harga,” kata Ketua Penyelidik­an RAM Ratings, Kristina Fong dalam satu kenyataan semalam.

RAM Ratings juga menjangkak­an Bank Negara Malaysia akan mengekalka­n kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus pada 2019, berdasarka­n keperluan untuk mengimbang­i tekanan aliran keluar modal dan sokongan ke atas pertumbuha­n.

“Walaupun inflasi utama dijangkaka­n meningkat tahun depan, kadar peningkata­n masih tidak jelas, berbanding risiko penurunan pertumbuha­n daripada penyepadua­n fiskal yang berterusan, pasaran modal yang tidak menentu, ketegangan perdaganga­n ASChina dan ketidakpas­tian Brexit,” kata Fong. Sementara itu, RAM Ratings berkata kadar inflasi utama Malaysia berkuranga­n kepada 0.3 peratus pada November berbanding 0.6 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh kesan penurunan harga asas harga bahan api runcit.

“Harga petrol RON95 susut 4.5 peratus tahun ke tahun pada November, berbanding kenaikan 1.1 peratus pada Oktober.

“Berdasarka­n inflasi makanan yang rendah dan tekanan deflasi daripada pengenalan semula subsidi bahan api dalam tempoh berbaki 2018, inflasi keseluruha­n dijangkaka­n pada purata 1.0 peratus pada 2018, berbanding 3.7 peratus pada 2017,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia